PPM Tawau merampas pelbagai barangan runcit yang cuba diseludup ke negara jiran. FOTO ihsan PPM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


Tawau: Cubaan lelaki menyeludup pelbagai barangan runcit bernilai lebih RM38,000 ke Nunukan, Indonesia dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau dalam Op Paradise di perairan Tanjung Batu, semalam.

Dalam kejadian pada 7.30 malam itu, lelaki warga tempatan berusia 54 tahun ditahan PPM ketika rondaan di kawasan berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, anggotanya terserempak dengan bot yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota PPM menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan sebelum menemui pelbagai barangan runcit seperti susu tepung, bawang, Milo dan daging ayam memenuhi ruang kargo bot.

"Hasil siasatan lanjut, semua barangan itu mahu dibawa ke Nunukan, Indonesia dan lelaki terbabit gagal menunjukkan dokumen yang membenarkannya membawa barang itu ke negara jiran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, semua barangan yang bernilai lebih RM38,000 itu dirampas dan dibawa ke Pangkalan Marin Tawau untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam1967.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 6:26 PM