Bekas pegawai kanan TLDM berpangkat Leftenan Komander, Khairul Izwan Mohd Khir, keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh selepas didapati bersalah hari ini. - Foto YAHYA ZAINUDDIN
BERNAMA

Ipoh: Seorang bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didapati bersalah bagi enam pertuduhan rasuah berjumlah lebih RM1.5 juta, berkaitan urusan pembekalan barangan TLDM antara 2013 dan 2015.

Terdahulu, tertuduh Leftenan Komander Khairul Izwan Mohd Khir,38, yang pernah bertugas sebagai Pegawai Kawalan Material 2, Depot Bekalan Armada TLDM, Lumut, menukar pengakuan kepada bersalah bagi semua pertuduhan.

Hakim S Indra Nehru turut memerintahkan harta Khairul Izwan bernilai kira-kira RM1.6 juta dilucutkan hak.

Lelaki itu didakwa menerima wang tunai RM1.4 juta antara 9 Februari 2015 hingga 27 Februari 2015 daripada seorang kontraktor dikenali sebagai Hussin Roslin yang dikreditkan menerusi empat transaksi ke dalam akaun Affin Bank Bhd milik pihak ketiga di cawangan Sitiawan, Manjung.

Selain itu, Khairul Izwan didakwa menerima sekeping kad debit CIMB bernilai RM100,000 pada 7 Januari 2014 daripada seorang pemilik syarikat, Mohd Nasir Abdullah di CIMB Bank Cawangan Seri Manjung.

Bagi pertuduhan keenam, Khairul Izwan didakwa menerima jam tangan jenama Bell & Ross di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur pada 2013 daripada seorang bernama Hussin sebagai hadiah kerana membantu mendapatkan projek pembekalan.

Pada 9 September 2015, Khairul Izwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, bagi lima pertuduhan menerima wang dan sekeping kad debit yang semuanya bernilai RM1.5 juta.

Khairul Izwan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Amer Abu Bakar Abdullah serta Mahadi Abdul Jumaat, manakala Khairul Izwan diwakili Norhasham Hasan. Dia membayar denda RM100,000 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 6:14 PM