ABAM (kiri) dan Ali berbakat besar.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Program Maharaja Lawak Mega 2016 yang berakhir April lalu menyaksikan persaingan sihat di antara peserta.

Biarpun memberikan saingan sengit, Ali yang menganggotai kumpulan Puteh akur dengan kehebatan abangnya, Abam apabila Bocey mengungguli tempat pertama MLM 2016 dan meraih wang tunai RM500,000.

Puteh hanya mampu meraih tempat ketiga dan membawa pulang RM150,000 namun Ali tetap berpuas hati kerana ini penyertaan pertamanya dalam pertandingan besar itu.

Ditemui padamajlis Rumah Terbuka Raya Maharaja Lawak Mega 2016 baru-baru ini, Abam dan Ali rancak bercerita perkembangan terbaru masing-masing.

Abam, 28, kini sedang mengenali hati budi seorang gadis manakala Ali sudah melangkah ke jenjang pelamin dengan wanita pilihannya pada 28 Mei lalu.

Tanpa berselindung Abam mengakui berhasrat mendirikan rumah tangga namun perlu menggembirakan hati ibunya, Sabariah Arshad, 58, terlebih dahulu.

“Kami baru sangat berkenalan dan saya masih sibuk dengan karier seni. Mujurlah buat masa ini dia faham dengan komitmen saya.

“Lagipun sebelum berkahwin, saya mahu bawa emak menunaikan umrah hujung tahun ini.

“Selain itu, saya teringin memiliki kediaman yang selesa sebelum bergelar suami,” katanya.

Bagi pemilik nama penuh Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan ini, dia akan membahagiakan ibunya selagi hayat dikandung badan.

“Emak dah banyak berkorban untuk anak-anak. Kini, masa dia menikmati kesenangan pula,” katanya.

Berbicara mengenai buah hatinya, Abam berkata temu janji mereka biasanya dalam kereta.

“Jangan fikir yang bukan-bukan pula. Biasanya kami keluar berdua pada waktu siang. Saya tak suka keluar kerana ramai suka ambil gambar curi.

“Sebenarnya saya tak kisah orang nak ambil gambar tetapi kenalah minta izin terlebih dahulu.

“Cuba bayangkan gambar diambil ketika saya sedang makan dan ketika itu tidak bersedia. Tentu saya sendiri yang malu kalau ia disebarkan,” katanya.

Abam yang turut terbabit dengan Lawak Vaganza Hot FM dan Super Spontan Superstar juga enggan terlalu bercerita mengenai projek seni yang dijayakannya kerana bimbang dilabel lupa daratan.

Ali puji Abam

Ali atau Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 27, bersyukur dapat menyunting Melati Putri, 26, sebagai suri hidupnya.

Kehidupannya lebih indah dan bermakna dengan adanya isteri tercinta di sisi.

“Tak banyak yang berubah selepas berkahwin namun tidak dinafikan pergerakan agak terbatas. Kalau keluar, saya asyik teringatkan isteri. Kakak sulung sudah berkahwin dan kini tinggal di rumah lain dengan suami.

“Sekarang hanya Abam, saya dan isteri serta seorang adik tinggal dengan emak di rumah pusaka peninggalan ayah di Gombak.

“Mulanya isteri saya kekok juga tetapi lama-kelamaan dia sudah dapat biasakan diri dan gembira. Kenduri sebelah saya mungkin berlangsung September ini,” katanya.

Ali memberitahu Abam abang yang baik dan sentiasa mengutamakan kebajikan keluarga.

“Contohnya, baru-baru ini kami singgah di Johor Premium Outlets (JPO). Dia beli beg tangan untuk emak dan saya pula belikan untuk isteri.

“Di kaunter bayaran, dia tak kedekut belanja isteri saya. Dia kata isteri saya jaga emak kami dengan baik,” katanya.

Kongsi Ali lagi, Abam pernah meluahkan hasrat mahu berkahwin tetapi rumah mereka sudah tiada bilik kosong.

“Abam ada perancangan beli tanah di belakang kediaman kami dan buat rumah besar. Dia seorang yang serius dan selalu ingatkan kami agar jangan timbulkan masalah.

“Abam juga akan kenalkan kekasihnya kepada emak. Jika emak setuju barulah dia akan teruskan perhubungan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 11:09 AM