NATASYA (kiri) dan Loh (kanan) pada perasmian aplikasi Keselamatan Keluarga Digi dan buku kerja #SafeWeb4Kids.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Jenayah siber dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sememangnya membimbangkan ibu bapa kerana ada kalanya mereka tidak menyedari anak menjadi mangsa jenayah alam maya.

Ramai ibu bapa keliru dan meragui sejauh mana pembabitan anak dalam talian serta keselamatan dan aktiviti yang mereka lakukan di alam maya.

Menyedari dilema yang dihadapi ibu bapa dalam arus teknologi, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) baru-baru ini mengulangi komitmen melindungi kehidupan digital pelanggan dengan pelancaran aplikasi Keselamatan Keluarga Digi dan buku kerja #SafeWeb4Kids sejajar dengan usaha berterusan syarikat untuk melindungi keselamatan pelanggan di alam maya.

Ketua Pegawai Pemasaran DiGi Loh Keh Jiat berkata, syarikat terbabit tidak asing kepada keselamatan dalam talian dan menjadi penyokong kuat melalui program CyberSAFE selama bertahun-tahun.

“Pelancaran aplikasi dan buku kerja ini ialah usaha advokasi keselamatan siber kami ke tahap yang baru. Ini langkah pertama Digi untuk mengambil pendekatan yang menyeluruh bagi melindungi kehidupan digital pelanggan.

“Inisiatif ini menjanjikan pengalaman mudah alih yang lebih selamat kepada pelanggan dengan menawarkan penyelesaian digital keselamatan bersama alat pembelajaran berkaitan untuk menggalakkan pembinaan keupayaan dalam kalangan anak mereka,” katanya.

Dinamakan Keselamatan Keluarga Digi, aplikasi ini membolehkan pelanggan dengan lokasi lebih mudah dan kawalan ibu bapa melalui peranti mudah alih.

Melaluinya, akaun keluarga boleh dibuat sehingga tujuh ahli keluarga dan melindungi semuanya dengan ciri utama seperti Lokasi Keluarga untuk mengesan ahli keluarga melalui telefon pintar atau web dalam masa sebenar, Geo-pagar bagi mewujudkan zon keselamatan untuk ahli keluarga.

Manakala Notifikasi dapat memberi amaran apabila ahli keluarga tiba atau meninggalkan kawasan ditetapkan, Check-in untuk memberitahu orang lain di mana anda berada, Panic Alert berfungsi menghantar amaran kecemasan dengan lokasi anda kepada semua telefon keluarga.

Kawalan Ibu Bapa pula untuk menyekat penggunaan telefon kepada nombor telefon keluarga dan kawalan apabila aplikasi tertentu boleh digunakan manakala Keselamatan Telefon membolehkan anda mencari, menghubungi, mengunci mana-mana telefon keluarga jika hilang atau dicuri.

Loh berharap pelanggan dapat mengambil peluang untuk memaksimumkan ciri yang disediakan dalam aplikasi itu untuk merapatkan keluarga dan sentiasa berhubung.

Digi bersama Protect & Save the Children (PS the Children), rakan kongsi keselamatan siber turut melancarkan buku kerja keselamatan dalam talian, #safeWeb4Kids. Buku kerja ini bertujuan membimbing murid sekolah mengenai cara membuat keputusan yang selamat dan bertanggungjawab dalam talian dengan cara menyeronokkan. Ia boleh didapati dalam bentuk salinan dan juga boleh dimuat turun dari www.digi.com.my/digicybersafe.

Ahli Lembaga Pengarah PS the Children, Natasya Saufi berkata, kerjasama itu juga satu iniasiatif dalam usaha pihaknya melawan jenayah siber.

“Kami berharap pendekatan bersepadu yang menyeronokkan dalam buku kerja ini akan menarik minat kanak-kanak untuk melakukan latihan dan pada masa sama, mendapat manfaat daripadanya.

“Menghasilkan alat pembelajaran seperti buku kerja ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memupuk daya tahan digital kanak-kanak dan supaya kekal selamat dalam talian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 5:26 AM