SYED Abdullah menunjukkan cara penggunaan pukat tunda Smile TED.

Jabatan Perikanan memperkenalkan alat Peranti Penyisih Penyu (Smile TED) kepada nelayan pukat tunda musim tengkujuh (PTMT) untuk meningkatkan pendapatan nelayan.

Smile TED ialah alat yang direka khas penyelidik Jabatan Perikanan bagi kegunaan nelayan PTMT.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, alat itu diagihkan kepada semua 192 nelayan PTMT aktif di Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor.

“Penggunaan Smile TED dapat menyelamatkan 100 peratus anak penyu yang tersangkut di pukat tunda kurang dari tiga minit. Kecekapan peralatan ini diperakui kumpulan pakar dari Amerika Syarikat.

“Pada Januari lalu, nelayan PTMT Kemaman, Terengganu, menjadi komuniti pertama menggunakan Smile TED di rantau Asia Timur.

“Pengggunaan Smile TED juga antara langkah kerajaan bagi memenuhi permintaan negara luar seperti Amerika Syarikat yang meletakkan syarat penggunaan Smile TED bagi tujuan eksport hasil tangkapan udang ke negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra bersama Nelayan Terengganu di Akademi Perikanan Malaysia di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Peladangan dan Komoditi Negeri Nawi Mohammad, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan dan Pengarah Penyelidikan Penyu dan Spesies Marin Terancam (TUMEC) Rantau Abang Syed Abdullah Syed Abdul Kadir.

Sementara itu, Ismail berkata, Jabatan Perikanan akan mewajibkan penggunaan Smile TED sebagai syarat lesen kepada nelayan PTMT bermula November ini.

“Hasil kajian penggunaan Smile TED ini di Kemaman, Terengganu mendapati kaedah ini mampu meningkatkan pendapatan nelayan antara tiga hingga lima peratus.

“Di samping itu, ia ‘jalan keluar’ kepada pengusaha pukat tunda khasnya zon B yang ingin menangkap sumber udang supaya menggunakan Smile TED,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan Smile TED bertujuan menyelamatkan spesies penyu dan mamalia marin lain daripada terperangkap dalam pukat.

“Smile TED juga dapat meningkatkan hasil tangkapan nelayan serta hasil tangkapan tidak bercampur dengan sampah dan kotoran.

“Ia juga dapat mengurangkan penangkapan ikan baja 12 hingga 15 peratus serta mampu mengurangkan penggunaan diesel,” katanya. - Mohamad Hussin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 5:00 AM