SUDIN dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dengan alat pengisar selepas tangan kirinya tersepit. FOTO Khairul Hamizy Ramlee
Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Pengusaha cili boh hampir putus tangan kiri selepas tersepit ke dalam mesin pengisar di rumahnya di Kampung Chendering, Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa, Sudin Che Mat, 47, terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan tangan masih berada dalam mesin pengisar terbabit.

Menurut isteri mangsa, Rohayati Yunus, 45, selepas hampir satu jam menahan kesakitan barulah tangan kiri suaminya berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba dan pihak hospital.

"Saya baru pulang ke rumah sebelum memasuki bilik untuk berehat tetapi terkejut terdengar raungan suami dari arah tempat mengisar cili boh.

"Saya bergegas menutup suis alat pengisar dan cuba menarik tangan kiri suami. Saya lihat tangan kirinya tersangkut manakala jari pula sudah dikisar di dalam alat itu," katanya ketika ditemui di HSNZ, hari ini.

Sementara itu, Sudin yang masih lemah selepas menjalani pembedahan berkata, dia kehilangan jari tengah dan jari manis selepas terkisar dalam mesin terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 7:33 PM