KONTINJEN Selangor meraikan kejayaan dinobatkan Juara Keseluruhan SUKMA 2016 pada majlis penutup SUKMA ke-18 Sarawak 2016 di Stadium Sarawak, Petra Jaya. FOTO Osman Adnan
Fuad Hadinata Yaacob dan Siraj Mohd Zaini
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan bayaran insentif RM5,000 untuk atlet yang memenangi pingat emas individu dan antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk emas berpasukan pada SUKMA 2016 di Sarawak yang berakhir semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri turut bersetuju meningkatkan bayaran insentif daripada RM958,000 kepada RM1.1 juta susulan kejayaan Kontinjen Selangor muncul juara SUKMA 2016 edisi ke-18.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengucapkan penghargaan kepada atlet, jurulatih dan pegawai atas kejayaan itu.

"Kontinjen Selangor berjaya mengumpul 195 pingat seterusnya muncul juara keseluruhan.

"Kerajaan negeri merakamkan penghargaan dan syabas kepada atlet, jurulatih, pegawai serta Chef-de-Mission Datuk Mohd Yassin Mohd Salleh," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan khas Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-13 sebentar tadi.

Dalam SUKMA 2016, Selangor mengumpul 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Renang mencatatkan jumlah pingat tertinggi yang berjaya dikumpul iaitu 44 pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 12:29 PM