AIKINS (dua dari bawah) terjun tanpa payung terjun diiringi 3 pembantunya.
Agensi

Los Angeles: Seorang penerjun dengan pengalaman lebih 18,000 terjunan mencatat sejarah apabila menjadi orang pertama terjun dari ketinggian lebih 7,600 meter tanpa payung terjun.

Selepas dua minit terjun bebas dari sebuah pesawat, Luke Aikins jatuh di tengah jaring selebar 30.5 meter kali 30.5 meter di kawasan penggambaran Big Sky di luar Lembah Simi.

Aikins yang disambut dengan tepukan gemuruh selepas kejayaan itu, merancang terjunan berkenaan sejak dua tahun lalu.

Dia terjun semalam dengan tiga penerjun lain yang masing-masing menggunakan payung terjun. Seorang memegang kamera, seorang lagi membawa tin asap untuk membolehkan orang ramai di bawah mengesan terjunan itu dan seorang lagi membantu mengambil tong oksigen yang diserahkan Aikins ketika berada di ketinggian dia tidak memerlukannya lagi.

Ketiga-tiganya kemudian membuka payung terjun masing-masing dan membiarkan Aikins jatuh sendiri.

Aikins lakukan terjunan pertamanya ketika berusia 12 tahun. Sejak itu, dia melakukan ratusan terjunan setiap tahun.

Datuk, bapa dan isterinya juga penerjun udara. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 7:35 AM