PEMANGKU Ketua Pengarah AADK, Datuk Azizan Ariffin (dua dari kanan) bermesra dengan tetamu yang hadir dalam Program Sucikan Hati Suburkan Iman di Pejabat AADK Kubang Pasu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Jitra: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tidak menyokong cadangan RISDA untuk mengkomersialkan tanaman ketum di negara ini kerana bimbang akan disalahgunakan sekali gus memberi kemudaratan kepada generasi akan datang terutama golongan muda.

Pemangku Ketua Pengarah AADK Datuk Azizan Ariffin berkata, jumlah penagih ketum semakin meningkat terutama di negeri Utara iaitu Kedah dan Perlis berikutan banyak ladang ketum didapati di dua negeri terbabit.

Beliau berkata, penagih ketum mempunyai pelbagai 'kepakaran' kerana akan mencampurkan pelbagai bahan lain termasuk ubat nyamuk untuk memberi rasa khayal lebih tinggi pada minuman terbabit.

"Selain itu, pihak kami juga dapati kanak-kanak seawal usia tujuh tahun di Pantai Timur sudah mula terjebak dengan ketagihan ketum yang dibimbangi akan merosakkan masa depannya.

"Berikutan itu, kita berharap langkah (mengkormersialkan ketum) itu dikaji semula dengan lebih teliti untuk mengelakkan lebih ramai penagih ketum di negara ini," katanya ketika ditemui pada Program Sucikan Hati Suburkan Iman di Pejabat AADK Kubang Pasu, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 3:29 PM