Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memperuntukkan antara RM1.74 bilion dan RM3.48 bilion bagi membangunkan Lapangan Gas K5 di Bintulu yang akan mengambil masa sehingga 2018 bertujuan untuk pengeluaran gas asli dari lapangan berkenaan.

Lapangan Gas K5 mempunyai 21 trilion kaki padu gas asli dan hanya empat trilion daripadanya berpotensi untuk dikeluarkan bagi tujuan komersial.

Ketua Bahagian Teknologi dan Huluan Teknikal Global Malaysia Petronas Carigali Sdn Bhd Dr Nasir Darman berkata, bagi membangunkan lapangan itu, Petronas berkerjasama dengan empat syarikat pembekal teknologi iaitu Technip Consultant (M) Sdn Bhd, UOP Malaysia Sdn Bhd, Twister BV dan General Asia Sdn Bhd.

Beliau berkata, pembangunan Lapangan Gas K5 menggunakan teknologi pengasingan karbon dioksida untuk menjadikannya sesuai bagi menjalankan proses penghasilan gas asli cecair.

“Gas karbon dioksida yang diasingkan daripada kemudahan ini akan disuntik semula ke dasar laut sedalam 2.2 kilometer untuk disimpan dalam bentuk cecair secara selamat.

“Projek K5 ini akan menjadikan Petronas sebagai perintis dalam teknologi pengasingan dan penyimpanan karbon dioksida serta menyediakan batu loncatan industri minyak dan gas kerana tiada pencemaran alam sekitar,” katanya pada taklimat pembangunan projek berkenaan di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:05 AM