NAJIB (lima kanan) dan penulis (enam kanan) bergambar bersama Ketua-Ketua Polis Negara ASEAN sebelum perasmian Persidangan ASEANAPOL Ke-36 2016 di Putrajaya.
Tan Sri Khalid Abu Bakar

Salam sejahtera buat pembaca budiman. Sepertimana pembaca sedia maklum, Persidangan ASEANAPOL atau Persidangan Gabungan Polis-Polis Rantau Asia Tenggara kali ke-36 berlangsung di Hotel Marriot, Putrajaya dari 24 hingga 29 Julai yang baru berlalu. Selain 10 Ketua-Ketua Negara ASEAN (Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar, Cambodia dan Malaysia), persidangan ini turut dihadiri wakil dari Australia, Republik Rakyat China, Jepun, Republik Korea Selatan, New Zealand, Russia, Turki, Sekretariat ASEAN dan juga INTERPOL yang merupakan rakan dialog ASEANAPOL. Selain itu, empat delegasi pemerhati dari Timor Leste, United Kingdom, EUROPOL dan International Committee Regional Of The Red Cross (ICRC) turut hadir di dalam persidangan yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Persidangan tahunan kali ini bertemakan ‘A Greater Nexus For A Safer Community’ yang menggabungkan elemen kerjasama akrab dan komitmen di kalangan ahli ASEANAPOL dalam memastikan objektif keselamatan serantau. Ia juga bertujuan meneruskan usaha untuk meningkatkan profesionalisme dan mengeratkan hubungan kerja antara agensi polis di rantau ini, dengan penekanan kepada isu rentas sempadan yang menjadi ‘common concern’ atau masalah serantau seperti penyeludupan dadah dan manusia, ancaman pengganas, keselamatan hidupan liar, jenayah komersial yang membabitkan penipuan seperti kad kredit, jenayah siber, jenayah pemalsuan dan jenayah persempadanan antarabangsa. Bagi persidangan ke-36 ini, fokus diberikan kepada usahasama untuk memerangi penggubahan wang haram, kemusnahan alam sekitar, senjata api haram serta eksploitasi manusia.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berasa amat bangga kerana persidangan kali ini berjaya melakar sejarah tersendiri apabila 10 negara ahli menandatangani Protokol Penyelarasan dan Komunikasi ASEANAPOL untuk Pengurusan Krisis (ASEANAPOL Communication and Coordination Protocol for Crisis Management). Usul yang dibawa ketika persidangan diadakan di Kuala Lumpur terakhir kali pada 2006 ini, akhirnya berjaya direalisasikan selepas 10 tahun melalui pelbagai proses pertimbangan oleh negara ahli.

Selain itu, kerjasama forensik melalui Rangkaian Sains Forensik ASEANAPOL di antara 10 negara anggota turut dimeterai dengan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran mesyuarat pertamanya dalam masa terdekat. Persetujuan ini membawa erti yang besar kepada negara ahli kerana sains forensik adalah aspek penting dalam siasatan jenayah dan kajian forensik akan membantu dalam penyelesaian sesuatu kes dengan cepat dan menyeluruh.

ASEANAPOL juga akan menandatangani surat hasrat untuk mengadakan kerjasama dengan EUROPOL dalam masa terdekat bagi tujuan sama. Satu lagi perkembangan yang bakal terpahat dalam sejarah ASEANAPOL ialah persetujuan negara ahli untuk menerima Fiji sebagai Negara Pemerhati terbaru. Negara ini akan mula menyertai Persidangan ASEANAPOL kali ke-37 di Singapura pada tahun hadapan.

Saya juga berasa bangga kerana persidangan kali ini berjaya mendapatkan ‘endorsement’ semua negara ahli untuk menerima pakai lagu ‘ASEANAPOL Unity’ sebagai Lagu Tema ASEANAPOL. Lagu ini adalah hasil ciptaan Pemangku Ketua Pengarah Pancaragam Pusat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Mesmoro Edward dan liriknya oleh Deputi Superintendan Mohd Noor Firdauz Abdullah telah diperdengarkan buat julung kalinya dalam Majlis Penutup Persidangan ASEANAPOL 2016 ini.

Pembaca sekalian, ASEANAPOL akan terus berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam usahanya menjaga keselamatan rantau ini, yang mana selari dengan lima fokus utama yang disebut Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya. Cabaran tersebut yang pernah disentuh Perdana Menteri sewaktu merasmikan persidangan pada 2006 di Kuala Lumpur adalah:

i. Mewujudkan perkongsian maklumat lebih baik yang memerlukan kerjasama merentasi sempadan negara dan penekanan terhadap perkongsian maklumat di antara negara di rantau ini.

ii. Ancaman keganasan yang dilihat sebagai ancaman langsung yang boleh menghalang pencapaian keamanan, kemajuan dan kemakmuran ASEAN dan bagi merealisasikan Wawasan ASEAN 2020. Dalam berhadapan dengan ancaman sebegini, perlu ada satu penyatuan dalam fokus untuk membina keupayaan penguatkuasaan undang-undang serantau. ASEANAPOL mampu bergerak ke hadapan dengan mempertingkatkan latihan, perundingan dan perkongsian perisikan serta pengalaman dalam memerangi keganasan;

iii. Untuk meneliti semula objektifnya dalam menyokong Komuniti Keselamatan ASEAN (ASC), wawasan ASEAN ke arah sebuah Asia Tenggara yang aman, stabil dan makmur;

iv. Untuk terus bekerjasama dengan agensi antarabangsa dan badan khas PBB, INTERPOL, EUROPOL, serta pertubuhan serupa di peringkat global untuk menjadikan ia efektif dalam menangani jenayah di antara negara dan ancaman terhadap keselamatan serantau;

v. Kebimbangan berterusan bahawa sementara pelbagai langkah untuk memerangi jenayah di antara negara ini dilakukan, rantau ASEAN secara umumnya masih menghadapi halangan dan cabaran yang berupaya menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan serantau. Langkah drastik perlu diambil bagi mengelakkan negara dari terpaksa berhadapan dengan berbagai bentuk liabiliti seperti kos ekonomi yang lebih tinggi untuk rawatan dan pemulihan penagih dadah, mencegah dan mendakwa pengedar serta pelbagai peluang yang hilang disebabkan oleh jenayah ini.

ASEANAPOL sudah dan akan terus memberi penekanan ke arah menangani cabaran tersebut, dengan mengambil maklum bahawa ancaman keganasan masa kini semakin menghantui masyarakat dunia dan harus diberi keutamaan. PDRM tidak akan memberi sebarang ruang untuk pendokong ekstremis seperti kumpulan militan Negara Islam (IS/Daish) atau penjenayah untuk menyusup masuk ke negara ini. Kerjasama erat antara negara anggota ASEANAPOL akan terus dipertingkatkan demi memastikan rantau ini bebas dari sebarang angkara jahat pihak tidak bertanggungjawab.

Penulis Ketua Polis Negara

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2016 @ 5:24 AM