HILLARY melambai perwakilan di Konvensyen Kebangsaan Parti Demokrat di Pusat Wells Fargo, Philadelphia, Pennsylvania selepas berucap untuk menerima pencalonan bagi bertanding dalam pilihan raya presiden November depan, semalam. - AFP
AFP

Philadelphia: Hillary Clinton semalam menempatkan dirinya dalam sejarah sebagai calon pertama sebuah parti utama Amerika Syarikat untuk bertanding dalam pilihan raya presiden negara itu.

Berucap untuk menerima pencalonan itu semalam, bekas wanita pertama, setiausaha luar dan juga senator itu berikrar mewujudkan peluang ekonomi untuk semua dan menolak wawasan ‘pesimis’ penentangnya dari calon Republikan, Donald Trump.

Dengan ikrarnya untuk menjadi presiden bagi ‘semua rakyat Amerika, Hillary menerima tepukan gemuruh daripada ribuan perwakilan di Konvensyen Kebangsaan Demokratik di Philadelphia.

“Dengan perasaan rendah diri, keazaman yang tinggi dan keyakinan yang tiada hadnya terhadap janji Amerika, saya menerima keputusan anda mencalonkan saya menjadi Presiden Amerika Syarikat,” kata Hillary, 68.

Sepanjang ucapannya selama sejam, Hillary turut membentangkan pelan optimistiknya untuk meningkatkan ekonomi Amerika Syarikat.

Kepada pengkritiknya Hillary berkata: “Saya akan membawa suara dan cerita anda bersama saya ke Rumah Putih. Saya akan menjadi presiden untuk penyokong Demokrat, Republikan dan juga bebas.”

Dia juga tidak melepaskan peluang membidas Trump dengan menggambarkan calon Republikan itu sebagai ‘orang yang akan hilang sabar walaupun dengan provokasi yang sedikit.’

“Bayangkan dia (Trump) di presiden dan berdepan dengan krisis sebenar. Seorang lelaki yang boleh anda umpan hanya menerusi Twitter bukan lelaki yang kita boleh percaya dapat menguruskan senjata nuklear.”

Hillary turut menggambarkan Trump sebagai ‘buta’ mengenai dasar luar.

“Trump berkata, dia lebih tahu mengenai Daish daripada jeneral tentera Amerika Syarikat. Tidak Trump. Anda sebenarnya tidak tahu apa pun,” kata Hillary.

Pilihan raya untuk memilih pengganti Presiden Barack Obama itu akan diadakan pada 4 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2016 @ 5:05 AM