Oleh Saiful Affendy Sapran.

saifulaffendy@hmetro.com.my.

Johor Bahru: Australia meleburkan hasrat skuad remaja negara untuk meraih tiga mata penuh selepas melakar kemenangan tipis 2-1 ke skuad bimbingan Arul Selvaraj pada aksi pertama Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, malam tadi.

Australia bermula baik apabila dihadiahkan dua pukulan sudut penalti seawal tiga minit pertama tetapi mereka gagal memanfaatkan kedua-dua peluang itu.

Sebaliknya skuad remaja negara di depan seminit selepas itu menerusi pukulan penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Haziq Samsul selepas Muhd Sufi Ismat dikasari dalam kawasan D.

Australia menggandakan asakan selepas itu dan hasilnya mereka memperoleh gol penyamaan pada minit kesembilan menerusi jaringan padang Will Gilmour.

Skuad bimbingan Ben Bishop terus memberi tekanan kepada Malaysia dengan menambah gol kedua minit ke-18 hasil jaringan padang Joshua Bretherton.

Bersambung babak kedua, Malaysia dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-44, tetapi tolakan Muhammad Haziq berjaya ditampan oleh penjaga gol Hayden Thomas.

"Saya perlu tenangkan pemain pada awal permainan kerana mereka nampak agak tertekan kerana ini adalah perlawanan besar yang pertama untuk mereka.

"Australia adalah sebuah pasukan yang pantas berfikir dan kita dihukum daripada kelebihan yang dimiliki oleh lawan itu.

"Apapun saya tetap berpuas hati dengan prestasi setiap pemain. Kekalahan ini memberi pengajaran kepada kami," kata Arul Selvaraj.

Sementara itu, India bermula baik dalam pemburuan mereka untuk mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Johor apabila menewaskan New Zealand 2-1 pada perlawanan pertama di Stadium Hoki Taman Daya, semalam.

Skuad bimbingan Harendra Singh itu tidak perlu menunggu lama untuk di depan menerusi gol padang Parvinder Singh seawal minit kelima sebelum Varum Kumar menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-43 menerusi pukulan sudut penalti.

New Zealand merapatkan jurang pada minit ke-53 hasil gol padang Nic Woods.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan, Britain berjaya mengutip tiga mata selepas membelasah Pakistan 5-0.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 9:32 PM
Skip this ad x