PERDANA Menteri Norway Erna Solberg (dua dari kiri) dan Menteri Luar Boerge Brende (kiri) bergambar bersama Malala (dua dari kanan) dan seorang lagi penerima Hadiah Keamanan Nobel Kailash Satyarthi di pejabat Erna di Oslo, semalam.

Oslo: Pemenang Hadiah Keamanan Nobel Malala Yousafzai semalam berkata, dia dapat melihat dirinya menjadi perdana menteri Pakistan dalam masa 20 tahun akan datang.

“Saya mahu membantu negara saya. Saya mahu negara saya maju. Dan saya sungguh patriotik,” kata Malala, 17, penerima paling muda anugerah berkenaan.

“Kerana itu saya memutuskan untuk menyertai politik dan mungkin satu hari nanti orang ramai akan mengundi saya dan saya menang dengan memperoleh majoriti, lalu menjadi perdana menteri,” katanya.

Ditanya mengenai aspirasi politiknya ketika sidang akhbar bersama perdana menteri Norway Erna Solberg di Oslo, Malala berkata: “Anda boleh menjadi perdana menteri apabila berusia 35 tahun, tidak sebelum itu. Masih jauh lagi perjalanan saya,” katanya.

Remaja Pakistan itu menjadi ikon global selepas ditembak di kepala oleh anggota Taliban pada 9 Oktober 2012 kerana menyokong pendidikan untuk kanak-kanak perempuan di negaranya.

Malala berkata, dia banyak memperoleh semangat dengan menghayati kehidupan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto yang ditembak mati pada 2007.

“Dia memberi mesej bahawa wanita boleh maju kerana dalam beberapa komuniti, wanita tidak dibenarkan ke depan, jauh sekali untuk menjadi perdana menteri,” kata Malala yang kini menetap di Britain.

Malala sering kali dikritik oleh penentangnya di negaranya sendiri yang menuduhnya menjadi boneka Barat dan tidak mempedulikan nilai Islam.

Dia menerima Hadiah Keamanan Nobel, kelmarin. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:03 AM