KETUA Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Nadzri Siron menyerahkan dan melancarkan tujuh motosikal untuk kegunaan Skuad Bermotosikal JPJ Perak.sempena lawatan kerja Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan ke JPJ Perak. FOTO L Manimaran
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Sistem integrasi bersepadu sedang dibangunkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) khususnya prosedur membabitkan senarai hitam pemandu, pemilik dan kenderaan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata, JPJ sudah mengadakan perbincangan dengan PDRM dan SPAD berhubung sistem integrasi itu dan ketiga-tiga mereka amat komited untuk menambah baik sistem pengurusan penguatkuasaan supaya lebih komprehensif.

Menurutnya, dengan adanya sistem ini, perkongsian maklumat penguatkuasaan antara ketiga-tiga agensi penguatkuasa itu dapat dilakukan walaupun ketiga-tiga agensi mempunyai sistem masing-masing.

"JPJ menggunakan sistem perkomputeran mySIKAP, PDRM gunakan sistemnya sendiri manakala SPAD sedang bangunkan sistemnya dan sistem integrasi ini akan membolehkan ketiga-tiga agensi penguatkuasa ini berkongsi maklumat.

"Perkongsian ini akan membolehkan JPJ menyemak saman atau notis dikeluarkan PDRM kepada pesalah trafik dan PDRM boleh semak saman serta notis dikeluarkan JPJ sekaligus membolehkan proses senarai hitam dilakukan," katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat JPJ Perak di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 2:03 PM