FADIL (tengah) memeriksa dadah yang dirampas dalam sidang media di IPD Tawau. FOTO ihsan PDRM
Junaidi Ladjana
am@hmetro.com.my


Tawau: Polis menahan seorang gadis berusia 19 tahun dan merampas lebih tiga kilogram dadah jenis syabu bernilai RM450,000 di balai ketibaan Lapangan Terbang Tawau, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, suspek warga tempatan itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, jam 11.15 pagi.

"Hasil pemeriksaan ke atas beg warna hitam yang di bawa oleh gadia itu menemui enam tin bertulis '36 PERCENT' dan setiap tin mengandungi satu plastik yang disyaki dadah jenis syabu.

"Pemeriksaan lanjut menemui 23 bungkusan makanan ringan pelbagai jenama dan satu set mainan kanak-kanak," katanya dalam sidang media di IPD Tawau, sebentar tadi.

Menurutnya, anggaran berat keseluruhan dadah syabu yang dirampas iaitu 3,164 gram dan harga pasaran dianggarkan RM450,000.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 10:44 AM