RAJINIKANTH dalam Kabali.
Ahmad Salim Bachok

Hubungan saya dengan filem Tamil sudah terjalin sejak lebih 50 tahun yang lalu. Membesar sebagai kanak-kanak di beberapa estet sekitar Pontian dan Kota Tinggi, Johor pada akhir 60-an dan awal 70-an memberi saya peluang untuk bergaul dengan rakan sebaya terdiri daripada anak-anak Cina dan India di perumahan estet berkenaan.

Kerana itu juga saya sudah biasa dengan pementasan opera Cina (kami panggil wayang pekji ketika itu) dan menonton wayang pacak di padang awam estet yang menayangkan filem hitam putih Melayu klasik dan filem Tamil terutamanya lakonan Sivaji Ganesan serta MG Ramachandran (MGR).

Kerana itu jugalah apabila fenomena demam filem Kabali lakonan Rajinikanth yang kini sedang melanda panggung wayang di seluruh dunia, saya ikut terasa begitu teruja. Di Malaysia, filem ke-159 lakonan Rajinikanth atau lebih dikenali sebagai Rajini oleh peminatnya itu mendapat sambutan hangat walaupun dikecam oleh beberapa pemimpin politik India tempatan kita.

Selepas tidak sampai seminggu ditayangkan di seluruh dunia (ia sudah ditayangkan genap seminggu iaitu mulai Jumaat lalu), kutipan tiket pecah panggungnya memang benar-benar luar biasa. Di India, penonton berebut-rebut memborong tiket wayang bernilai lebih RM100 juta, manakala kutipan tiket di luar India pula berjumlah lebih RM55 juta.

Selepas enam hari tayangan, Kabali dikatakan berjaya mengutip lebih RM156 juta. Agaknya berapalah jumlah kutipan filem selepas sebulan atau dua bulan tayangannya nanti. Malah tayangan di Amerika Syarikat bagi tempoh yang sama menghasilkan hampir RM18 juta kutipan tiket, sekali gus memecah rekod kutipan tayangan semua filem Bollywood dan filem Tamil sebelum ini di negara Uncle Sam itu.

Di Malaysia, filem ini diramal bakal menjadi filem terlaris untuk tahun ini, mengatasi filem Hollywood seperti Star Wars: The Force Awakens, Avengers dan Furious7.

Jadi apakah rahsia atau resipi kejayaan filem lakonan superstar Tamil berusia 65 tahun ini? Menurut beberapa penganalisis dan pengkritik filem, tarikan utama filem lakonan Rajini bersama Radika Apte dan arahan pengarah tersohor Kollywood, Pa Ranjith ini adalah Rajinikanth itu sendiri.

Malah ada pendapat mengatakan bahawa penonton ke panggung bukan semata-mata mahu menonton filem lakonan Rajinikanth, tetapi mereka memenuhi panggung demi untuk melihat dan memuja pelakon itu di dalam setiap filemnya. Mungkin kerana itu jugalah menyebabkan ramai peminat Rajinikanth yang bertindak menonton filem-filemnya secara berkali-kali tanpa rasa bosan.

Bagi kebanyakan penonton atau peminat Rajinikanth, pesona terhadap pelakon yang lahir di Bengaluru, India pada 12 Disember 1950 dengan nama Shivaji Rao Gaekwad ini adalah suatu pemujaan terhadap manusia suci yang bertaraf dewa. Mungkin hanya mendiang pelakon MGR yang mampu menyaingi kehebatan imej.

Bagi saya pula, walaupun belum berkesempatan menonton filem ini, terus terang saya mengakui adalah antara peminat tegar filem Tamil, terutamanya filem lakonan Rajinikanth. Malah untuk filem Rajinikanth paling popular sebelum ini, Sivaji the Boss, saya sudah menontonnya sebanyak tiga kali. Sekali di panggung, dua kali di DVD.

Untuk filem di mana Rajinikanth dikatakan dibayar RM35 juta ini, saya bercadang mahu menontonnya lebih daripada sekali. Kali ini saya akan cuba pujuk beberapa orang peminat tegar drama bersiri dan program realiti Korea di rumah saya, iaitu isteri dan anak-anak, untuk turut menonton filem hebat lakonan Rajinikanth ini.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 7:42 AM