CAMERA Sony, Alpha 7 II.
Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@mediaprima.com.my


Singapura : Malaysia antara negara yang memiliki pengguna kamera tanpa cermin (mirrorless) tertinggi di Asia Tenggara berbanding kamera berkuasa tinggi tradisional yang dijual di pasaran.

Pengurus Besar Bahagian Pemasaran Pengimejan Digital Sony Asia Tenggara, Takashi Yasuda berkata, Malaysia mencatatkan peningkatan penggunaan kamera tanpa cermin menggalakkan sebanyak 67 peratus berbanding kamera penuh 33 peratus di rantau ini.

“Selain Singapura, Malaysia antara pasaran penting dalam industri kamera tanpa cermin yang mempamerkan pertumbuhan besar di Asia Tenggara,” katanya pada majlis pelancaran kamera baru Sony, Alpha 7 II, semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan Sony Asia Tenggara, Naoki Sekiguchi.

Katanya, dalam tempoh 14 bulan sehingga Oktober tahun ini, kajian agensi penyelidik, GFK menunjukkan jualan kamera tanpa cermin meningkat dari dua juta unit ke lima juta unit.

“Peningkatan mendadak atas faktor saiz kamera, kualiti yang sama dengan DSLR dan reviu dari orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Sony melancarkan kamera kerangka penuh (full frame) dengan format 5-Axis pertama di dunia pada saiz kompak yang mempunyai resolusi 24.3 megapiksel.

Kamera dengan kerangka aloi magnesium dan ergonomik ini mengesan subjek dengan pantas dan merakamnya tanpa menghasilkan gambar yang kabur.

Ciri terbabit dihasilkan dengan menambah baik 30 peratus autofokus yang mengoptimumkan penggunaan lensa.

Semua imej diproses menggunakan pemprosesan Bionz X dan mampu menghasilkan rakaman video HD penuh 1920 x 1080 piksel.

Ia juga boleh disambungkan ke telefon pintar menggunakan rangkaian NFC atau WiFi yang dipasang bersama kamera ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:03 AM