NADIRA Adnan.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Pujangga ada menyebut, ‘dunia akan membeku tanpa cinta’. Maka demi mengangkat predikat cinta yang sangat besar maknanya dalam kehidupan manusia dan sejagat, sebuah konsert istimewa yang diberi judul Konsert Cinta bakal berlangsung Ogos ini.

Buat pertama kalinya, penyanyi muda Nadira Adnan yang kini sedang mencipta nama di Malaysia dan Indonesia bakal muncul dengan konsert yang bakal mengabungkan nama besar dalam dunia seni. Yuna, Amy Search, Noh Salleh dan Joe Flizzow akan bersama-sama merealisasikan makna cinta masing-masing di Istana Budaya pada 19 dan 20 Ogos ini.

Bertempat di Panggung Sari, konsert yang dibawakan Nadira Music Management ini akan bermula pada 8.30 malam.

Menariknya Konsert Cinta ini bukan sahaja rangkaian lagu hebat malah produksi konsert turut menitikberatkan pementasan dan rekaan yang pasti memukau mata penonton.

Sebelum ini, Nadira muncul dengan album sulung berjudul Isi Hati. Lagu daripada album yang diedarkan di Malaysia dan Indonesia ini akan diperdengarkan buat julung kalinya secara langsung di hadapan peminat.

Gementar namun penuh pengharapan, Nadira yang kini menginjak usia 19 tahun melalui proses persediaan intensif untuk konsert ini sejak Mei lalu. Diselang-seli dengan jadual pembelajaran sebagai pelajar perubatan, Nadira menjalani kelas vokal di Indonesia.

“Saya sangat teruja namun pada masa sama gementar kerana ini persembahan terbesar saya setakat ini. Saya seakan-akan tidak percaya dapat berkongsi pentas dengan penyanyi tersohor yang menjadi inspirasi saya.

“Saya harap semua penonton turut merasai keterujaan ini. Saya berharap usaha serta penat lelah saya buahkan hasil,” ujar Nadira.

Menurut Joe pula, dia tidak sabar beraksi di panggung bertaraf antarabangsa itu bersama rakan artis terkenal.

“Saya tidak sabar menghiburkan penonton di pentas yang berprestij,” katanya.

Sementara itu, Noh yang kini popular dengan lagu Angin Kencang menyifatkan Konsert Cinta sebagai peluang terbaik buatnya.

“Dapat bergandingan dengan nama besar dalam industri muzik tanah air adalah satu kebanggaan buat saya,” kata Noh ringkas.

Konsert ini akan menyaksikan Eddie Slam tampil sebagai pengarah muzik dengan ditemani pemuzik handalan Malaysia.

Tiket menyaksikan Konsert Cinta berharga RM100, RM175, RM250, RM300 dan RM 500 akan mula dijual pada 21 Julai 2016 di kaunter tiket Istana Budaya dan www.ticketpro.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 5:14 AM