SEELAN (depan) bersama rombongan program #flyhotkooljompibali ketika di Pantai Sanur, Bali.
SNORKELING di Pulau Lembongan.
Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my


Dalam era segala maklumat di hujung jari ini, peranan stesen radio juga semakin meluas.

Stesen radio tidak lagi beroperasi secara konvensional yang hanya didengar di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke tempat kerja atau ketika memasak dan mengemas rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima (RRMP) Seelan Paul berkata, stesen radio kini bukan saja memberi hiburan dan maklumat kepada pendengar daripada penyampai radio yang ‘bersembunyi’ di dalam konti, tetapi diperluaskan ke platform digital serta lebih ke arah realiti.

“Orang tak lagi dengar radio di dalam kereta atau di sisi radio di dalam bilik, tetapi di mana-mana saja menerusi aplikasi dalam telefon pintar. Jika mereka tak dapat dengar siaran Hot FM di sebelah pagi, mereka boleh mengikutinya di laman sosial seperti Facebook.

“Peranan stesen radio semakin berkembang dan itulah cabaran yang kami hadapi kini. Malah, satu hari nanti mungkin perkataan FM di nama stesen radio tidak lagi digunakan,” katanya ketika ditemui pada program #flyhotkooljompibali bersama media di Bali, Indonesia, baru-baru ini.

Turut menyertai program berkenaan ialah Pengurus Besar Kumpulan RRMP Anida Tahrim serta tiga penyampai radio iaitu Issey dari Hot FM, Ikhwan (Kool FM) dan Ivan (Fly FM).

Sehubungan itu, bagi memastikan mereka kekal relevan, RRMP mengambil pendekatan terbaru dalam melancarkan kempen di suku ketiga tahun ini menerusi pengisian terbaru untuk Hot FM, Kool FM dan Fly FM bermula Isnin lalu hingga 4 September depan.

“Buat pertama kalinya tiga stesen radio ini akan mengendalikan pengisian berbeza berbanding tahun-tahun lalu sekali gus menjadi penanda aras dalam industri penyiaran radio,” katanya.

Menurut Seelan, pengisian itu merangkumi program Lawak Vaganza di Hot FM, Super Karoks (Kool FM), Hot Kool Mash Up dan Fly Tweet It Or Sakit di Fly FM yang bermula Isnin lalu.

Dalam program Lawak Vaganza yang menawarkan hadiah wang tunai RM50,000 itu, empat penyampai Hot FM iaitu Ajak, Issey, Haziq dan Ammar akan berganding dengan pelawak pilihan mereka dalam skesta dengan tema pilihan setiap minggu.

Ajak bersama Ropie dan Acong membentuk kumpulan Oh Boy manakala Issey bersama Bell Ngasri dan Shuk membentuk kumpulan JMT. Turut bertanding ialah Haziq bersama Abam Bocey dan Mark Adam dalam kumpulan Salaseh dan Ammar bergabung dengan Achey Bocey dan Black dalam kumpulan Acak.

“Pendengar berpeluang menentukan pilihan mereka dengan membuat undian di laman web rasmi Hot FM. Juara mingguan akan diumumkan setiap Jumaat bersama trio Geng Pagi Hot dan final Lawak Vaganza akan berlangsung pada 12 Ogos depan yang diacarakan Fizie dan Deen, “ katanya.

Turut menarik perhatian pastinya Super Karoks di Kool FM yang menampilkan konsep program realiti nyanyian dalam kalangan penyanyi popular tempatan.

Mereka yang bertanding ialah Ezad Lazim dan Rahmad menerusi kumpulan Lazat; Mya Matahari dan Ayai Ilusi (AM); Intan Sarafina dan Elyana (Hey Ladies); Amelina dan Raja Ema (Gorgeous Mom) dan Noorshila Amin dan Faradhiya (Mak Anak).

Seelan berkata, lima pasangan penyanyi ini akan berentap dengan paduan vokal mantap bagi merebut hadiah utama iaitu wang tunai RM15,000.

Sementara itu, Fly FM pula menampilkan Hafiz, Dennis dan Guibo menerusi cabaran kempen Fly Tweet It Or Sakit. Trio yang dikenali sebagai Fly Wolfpack ini akan memuat naik jalan cerita di Twitter mereka dan Twitter rasmi Fly FM dan pendengar dikehendaki menyambung cerita berkenaan.

Apa yang menarik, penyampai yang mendapat paling sedikit sambungan akan didenda mengikut cadangan pendengar Fly FM!

Dalam pada itu, susulan kejayaan konsert Hot Kool Jam pada Mac lalu, RRMP mengangkat konsert berkenaan ke frekunsi radio Hot FM dan Kool FM menerusi program Hot Kool Mash Up.

Ia menampilkan gabungan penyanyi lama dan baru seperti Nora & Sufian Suhaimi; Khalifah & Sakura Band; Caliph Buskers & Alyah; Projector Band & Saleem dan Zamani & Hazama. Hot Kool Mash Up juga boleh didengar di aplikasi telefon pintar mulai 8 Ogos hingga 29 Ogos depan.

Era baru penyampai radio

Tidak seperti dulu, penyampai radio kini tidak lagi bergantung kepada ‘suara emas’, sebaliknya personaliti, penampilan dan kepelbagaian bakat lebih menjadi pilihan.

Seelan berkata, penyampai radio sekarang perlu menjadi serba boleh. Mereka bukan saja perlu berilmu dan bijak berceloteh, tetapi juga kreatif.

“Saya tak nafikan penampilan dan wajah juga penting, tetapi ia bergantung kepada keadaan. Namun, paling penting ialah bakat. Setiap penyampai radio perlu ‘turn on’ setiap masa. Dalam erti kata lain, mereka perlu sentiasa kreatif,” katanya.

Menurut Seelan, kini setiap penyampai radio di RRMP wajib menghasilkan dua videolog mengenai aktiviti mereka setiap minggu untuk dimuat naik di laman web stesen radio masing-masing.

“Walaupun dilihat sebagai tambahan kepada kerja masing-masing, tetapi mereka perlukan melakukannya. Masa sudah berubah dan setiap penyampai dan stesen radio perlu berubah. Ini satu kemestian,” katanya.

Sementara itu, program #flyhotkooljompibali yang diadakan baru-baru ini adalah antara kempen tahunan yang diadakan RRMP dalam mengeratkan silaturahim dengan pihak media.

Sebelum ini, ia diadakan di Phuket, Thailand pada 2010 dan Janda Baik, Pahang tahun lalu.

Seelan berkata, program berkenaan turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pendapat mengenai industri penyiaran radio.

Dalam program berkenaan, rombongan seramai 19 orang terdiri daripada pengamal media dan tiga penyampai RRMP iaitu Ikhwan Kool FM, Issey Hot FM dan Ivan Fly FM dibawa ke Bali, Indonesia.

Antara lokasi menarik yang dikunjungi di pulau pelancongan yang dikenali dengan nama Pulau Dewata itu ialah pantai Seminyak, Legian, Sanur dan Kuta.

Mereka turut melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Lembongan dan merentasi hutan paya bakau di Pulau Nusa Penida.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 5:07 AM