PERWAKILAN bersorak apabila skrin memaparkan Hillary Clinton berucap ketika sesi hari kedua Konvensyen Kebangsaan Demokrat di Pusat Wells Fargo, Philadelphia, Pennsylvania, semalam. - AFP
Agensi

Philadelphia: Hillary Clinton mencatat sejarah semalam apabila menjadi wanita pertama memenangi pencalonan untuk bertanding dalam pilihan presiden, mewakili sebuah parti politik utama Amerika Syarikat selepas dia mendapat sokongan majoriti perwakilan di konvensyen parti Demokrat di sini.

Bekas wanita pertama, senator dan setiausaha negara itu mengorak langkah penting untuk menjadi panglima tentera wanita pertama Amerika Syarikat selepas mengalahkan pesaingnya Bernie Sanders.

Selepas kekecohan ketika perasmian konvensyen itu yang menyaksikan penyokong Sanders dan Hillary saling ejek-mengejek, sorakan kemudian bergema apabila Hillary diumumkan melepasi angka 2,382 perwakilan, jumlah yang diperlukan untuk membolehkan dia dicalonkan.

Meskipun keputusan itu sudah diketahui beberapa minggu lalu, pengundian dari satu ke satu negeri menyaksikan kebingitan dan kekecohan di dewan konvensyen.

Sekumpulan penyokong kuat Sanders marah kerana kekalahan calon itu, tetapi suara mereka ditenggelamkan oleh penyokong Hillary yang sebahagiannya menitiskan air mata sambil berpelukan selepas keputusan diumumkan.

Selepas perwakilannya dikira, Sanders berucap, cuba memujuk penyokongnya supaya memberi sokongan mereka kepada Hillary.

“Pada pendapat saya, memang senang untuk mengejek, tetapi adalah sukar untuk melihat wajah anak anda yang akan hidup di bawah pemerintahan Donald Trump,” katanya.

Kem Clinton kini berusaha untuk menyatukan parti itu semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 10:31 AM