Kuala Lumpur: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pasti akan dilaksanakan seperti yang dirancang berikutan peningkatan syarikat berdaftar iaitu sebanyak 201,440 melepasi sasaran yang ditetapkan kerajaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, pertama kali sejak Jun lalu, pendaftaran GST mencatatkan peningkatan mendadak apabila sebanyak 4,800 syarikat mendaftar pada 10 Disember 2014 berbanding purata 2,000 syarikat sehari yang mendaftar sebelum ini.

Katanya, kerajaan yakin jumlah itu akan melebihi 220,000 syarikat menjelang 31 Disember 2014, tarikh akhir yang diberikan kepada syarikat untuk mendaftar GST.

“Pelaksanaan GST sekarang lebih jelas apabila mendapat kerjasama syarikat yang mendaftar kerana jika jumlah mendaftar sedikit sukar untuk kita melaksanakan GST pada 1 April 2015.

“Jika dibandingkan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pendaftaran GST (201,440) telah melebihi SST iaitu hanya 63,000 syarikat yang mendaftar,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Koperasi Kredit 2014, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdull Fattah Abdullah.

Ahmad berkata, syarikat yang mendaftar GST kali ini termasuk koperasi, yayasan, syarikat besar serta pengusaha kecil dan sederhana.

Beliau berkata, bagaimanapun kerajaan akan mempertimbangkan GST ke atas koperasi.

Menurutnya, masyarakat juga perlu memahami GST kerana tidak semua barang akan mengalami kenaikan apabila ia dilaksanakan tahun depan.

“Senarai penuh pengecualian barang GST akan dikeluarkan pada Januari 2015 dan ada beberapa barang yang akan turun harga.

“Selain itu, kerajaan juga berharap syarikat perunding dan pengeluar perisian GST tidak mengenakan caj yang terlalu mahal ini kerana kami ada menerima aduan terdapat syarikat yang mengenakan yuran sehingga RM3,000 seorang bagi khidmat runding GST,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:02 AM