HSIAO Feng mengharapkan perhatian daripada bapanya yang lebih sibuk dengan karier sebagai penjual kereta.
HSIAO Feng gemar menghasilkan kenderaan unik berdasarkan imaginasinya, inspirasi daripada kerjaya bapanya.
KISAH Hsiao Feng disiarkan di 25 skrin media OOH seluruh bandar raya termasuk skrin digital bersaiz 100 meter di Taipei Arena dan Taipei 101.
BAPA Hsiao Feng terharu dan sedih melihat video anaknya ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


Imaginasi seorang kanak-kanak itu memang tiada sempadan. Ada yang suka tampil dengan pakaian superhero kegemaran atau berangan-angan menjadi puteri.

Selain itu, apa saja yang ada di depan pasti diubah kepada sesuatu permainan dek imaginasi tinggi si cilik ini.

Menerusi imaginasi juga kanak-kanak dapat belajar perkara baru. Belajar menerusi bermain sepeti ini adalah satu teknik pengajaran dan pembelajaran berkesan kepada kanak-kanak, selain mendatangkan keseronokan juga kepuasan kepada mereka dalam memahami sesuatu pengajaran.

Bermain juga membolehkan kanak-kanak melalui proses perkembangan mental dan memantapkan kemahiran fizikalnya, di samping penguasaan bahasa dari segi perbendaharaan serta peraturan tatabahasa.

Malah, imaginasi kanak-kanak tidak terhad pada satu perkara tertentu saja kerana ketika bermain, mereka melakukan pelbagai perkara yang mampu memberikan keriangan terutama apabila berpeluang meniru gaya watak kartun kegemaran ataupun memainkan peranan tertentu.

Justeru menyedari pentingnya imaginasi pada kehidupan kanak-kanak, LEGO melancarkan kempen istimewa bagi memberi inspirasi kepada ibu bapa untuk membantu menyokong imaginasi si kecil.

LEGO percaya imaginasi antara penyumbang utama kepada aspek kreativiti dan inovasi. Kanak-kanak mempunyai imaginasi yang tiada hadnya tetapi pada masa sama, imaginasi mereka itu membantu golongan dewasa melihat potensi masa depan menerusi cetusan idea unik dan penyelesaian terbaik terhadap satu-satu masalah.

Proses pemikiran kreatif seperti inilah yang banyak membantu manusia hidup selesa dengan wujudnya teknologi dalam aktiviti harian.

Menerusi pelancaran kempen dikenali ‘City Adventures’ ini, LEGO menggesa ibu bapa memberi perhatian kepada imaginasi si kecil.

Dalam budaya serba berdaya saing ketika ini, kebanyakan ibu bapa mementingkan kecemerlangan akademik dan mengabaikan kemahiran berfikir secara kreatif pada si anak.

Kesannya, si anak berjaya mencapai tahap akademik memuaskan tetapi tidak mampu berfikir sendiri secara kreatif dan kritikal.

Dengan adanya kempen ini, LEGO mengesyorkan keseimbangan dua perkara itu dalam kehidupan kanak-kanak.

Pada masa sama, kempen ini turut diharapkan menjadi peluang untuk ibu bapa menghabiskan lebih banyak masa bersama anak mereka dan bukan hanya pada hujung minggu.

Jelas Pengurus Kanan Jenama Serantau LEGO, Asia Tenggara, Kevin Hagino, kempen yang menggunakan medium filem pendek ini memberi mesej mengenai nilai kekeluargaan yang tinggi, selain menggesa golongan dewasa memberi perhatian kepada aspek kreativiti kanak-kanak.

“Di LEGO, kami mempunyai misi untuk mencetuskan imaginasi dan kreativiti menerusi aktiviti permainan.

“Kanak-kanak sememangnya kreatif dan bijak, justeru kita sebagai ibu bapa perlu memberi perhatian kepada aspek itu.

“Mesej yang ingin disampaikan dalam filem pendek itu amat berkuasa dan diharap dapat memberi kesan mendalam kepada semua ibu bapa.

“Kita semua sibuk dengan karier dan aktiviti masing-masing, tetapi itu bukan alasan untuk mengabaikan si kecil.

“Zaman kanak-kanak mereka tidak lama, jadi pentingnya ibu bapa mencambah kreativiti dan kemahiran si kecil dengan aktiviti membina.

“Kanak-kanak ini juga perlu diberi perhatian dan dorongan berterusan, sama seperti orang dewasa,” katanya.

Filem ‘LEGO Presents: A Gift for Imagination’ dihasilkan bersama rangkaian kreatif dikenali Iris yang diharapkan dapat mencetuskan perubahan minda dalam kalangan ibu bapa.

Filem pendek ini dirakamkan di Taipei, Taiwan yang menceritakan bagaimana ibu bapa yang sibuk hanya menghabiskan masa dengan anak mereka pada cuti hujung minggu.

Filem ini seterusnya memberi tumpuan kepada kanak-kanak berusia enam tahun bernama Hsiao Feng. Hsiao Feng gemar membina kenderaan daripada bongkah LEGO.

Sama seperti kebanyakan ibu bapa moden yang sibuk dengan kerja, bapa Hsiao Feng kurang memberi perhatian kepada kreativiti anaknya berikutan kerjaya sebagai mekanik dan penjual kereta.

Untuk menarik perhatian bapanya, LEGO bekerjasama dengan ibu Hsiao Feng lalu menghasilkan filem pendek yang menunjukkan bagaimana kanak-kanak itu menggunakan LEGO untuk merealisasikan imaginasinya selain menceritakan mengenai rasa kagum pada bapanya.

LEGO seterusnya menggunakan kemudahan media di beberapa kawasan sekitar bandaraya Taipei sebagai usaha menarik perhatian si bapa.

Filem itu disiarkan di 25 skrin media OOH seluruh bandaraya termasuk skrin digital bersaiz 100 meter di Taipei Arena dan Taipei 101, kawasan yang menjadi laluan utama bapanya ke tempat kerja.

Ketika dalam perjalanan pulang, bapa Hsiao Feng terkejut melihat anaknya di paparan skrin itu sebelum tersentuh mendengar mesej daripada kanak-kanak itu.

Babak itu diakhiri dengan janji si bapa untuk tidak mengabaikan kreativiti anaknya, di samping bangga dengan hasil rekaan Hsiao Feng.

Filem pendek ini boleh disaksikan di laman YouTube menerusi https://www.facebook.com/LEGO/videos/10153839876913403/.

Sementara itu, LEGO turut mencari bakat muda dalam bidang pembinaan dengan menganjurkan pertandingan ‘Top Builders of the Month’ di seluruh Malaysia.

Pertandingan yang bermula pada bulan ini sehingga Oktober depan memberi peluang kepada kanak-kanak menggunakan bongkah LEGO CITY untuk membina dan melengkapkan hasil bangunan seperti yang ditunjukkan pada setiap kedai LEGO.

Ibu bapa digalakkan memainkan peranan sebagai penyokong dengan memuat naik hasil binaan kreatif anak mereka ke laman Facebook LEGO menggunakan hashtag #LEGOCityAdventuresMY.

Pemenang terbaik akan diumumkan setiap bulan dan hasil kerja meeka akan dipamerkan di kedai LEGO terpilih, selain di laman sesawang rasmi di LEGO.com/CityAdventures.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 12:50 PM