Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan kini sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk memperkenalkan program rangsangan bagi memacu pertumbuhan ekonomi berdasarkan pertumbuhan ekonomi negara yang sederhana pada masa ini.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan bagaimanapun belum membuat sebarang keputusan muktamad kerana masih melakukan perbincangan dengan kumpulan fokus berkaitan.

“Untuk melaksanakan sebarang tindakan, kita perlu melihat kewajarannya terutama dari aspek kemampuan kerajaan bagi memastikan ia mampu menjana perolehan hasil tanpa perlu melaksanakan tidakan berasaskan pinjaman kerana apa paling penting adalah kemampuan untuk mengimbanginya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Taklimat Ekonomi Kebangsaan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) ke-31 di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya optimis terhadap perkembangan ekonomi Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan kukuh pada kadar 4.2 peratus bagi suku pertama 2016 dan melihat sektor swasta sebagai pemacu utama dengan pertumbuhan perbelanjaan sebanyak 5.3 peratus didorong oleh peningkatan pendapatan dan pekerjaan yang berterusan.

“Pelaburan swasta meningkat pada kadar lebih perlahan iaitu 2.2 peratus dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh sentimen perniagaan yang berhati-hati serta pengurangan pelaburan dalam sektor huluan perlombongan.

“Kemampuan untuk berdaya tahan pada masa sekarang adalah bukti kepada pelaksanaan pembaharuan dan pelarasan awal oleh kerajaan sejak beberapa dekad lalu dan ini semua membantu ekonomi Malaysia untuk menempuhi pelbagai impak luaran serta domestik,” katanya.

Sementara itu, MIER terus mengekalkan unjuran pertumbuhan negara pada tahap 4.2 peratus pada tahun ini berikutan persekitaran ekonomi yang suram dengan permintaan domestik akan terus menjadi enjin pertumbuhan Malaysia.

Pengarah Eksekutifnya, Profesor Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, pertumbuhan ekonomi global gagal mendapatkan momentum dengan pemulihan sesetengah ekonomi masih tidak kukuh di tengah aliran modal dan perdagangan global lemah berpanjangan.

“Harga komoditi yang lemah terus menjadi batu penghalang kepada negara membangun dan ia turut memperlahankan ekonomi negara maju,” katanya.

Beliau berkata, sektor swasta dijangka terus memainkan peranan utama dalam penggunaan dengan pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka meningkatkan lagi keadaan mudah tunai dalam ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 7:19 AM