BERNAMA

Kuala Lumpur: Syarikat pengurusan dana ekuiti persendirian berkaitan kerajaan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) memperoleh 35 peratus pegangan ekuiti dalam Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd pada nilai RM68.6 juta.

Pelaburan dalam syarikat barangan sukan Bumiputera terkemuka negara itu menandakan pembabitan sulung Ekuinas dalam segmen peruncitan sukan yang memperluaskan portfolio runcit syarikat menjangkaui perniagaan makanan dan minuman (F&B) pada masa ini.

“Industri peruncitan sukan Malaysia dijangka berkembang pada kadar lapan peratus setahun dan bakal mencecah RM2 bilion pada 2020 di Malaysia sahaja, manakala di negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, ia dijangka berkembang melebihi RM13 bilion dalam tempoh yang sama,” kata Ekuinas dalam kenyataan di sini, semalam.

Selaras dengan mandat untuk mewujudkan syarikat peneraju pasaran, Ekuinas berkata, ia merancang menyokong usahawan Bumiputera yang berkebolehan untuk mengembangkan perniagaannya ke pasaran baharu di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, serta pasaran serantau.

Termasuk pelaburan dalam sektor pembuatan di bawah Program Penyumberan Luar bernilai RM12 juta, Ekuinas membuat pelaburan dalam 36 syarikat di bawah pelaburan langsung dan penyumberan luar sejak ditubuhkan pada 2009.

Melalui sokongan Ekuinas, Al-Ikhsan juga merancang menembusi pasaran Sabah dan Sarawak dengan cadangan membuka enam cawangan di Kuching dan Kota Kinabalu menjelang 2018 serta rancangan serantau pada masa ini termasuk menembusi pasaran Indonesia dan Thailand dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 7:16 AM