PENGARAH Pusat Koreksional Perlis, Penolong Komisioner Penjara (PKP) Shahhimi Husain. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my


Kangar: Seorang pegawai Inspektor Penjara Pusat Koreksional Perlis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis di Mata Ayer di sini, semalam berhubung siasatan meminta suapan dari orang awam membabitkan kes seorang tahanan yang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Pengarah SPRM Perlis, Yaacop Angah berkata, suspek berusia 33 tahun itu diberkas sekitar jam 1 tengah hari semalam di Pusat Koreksional Perlis, Mata Ayer ketika sedang bertugas oleh sepasukan anggota SPRM Perlis yang menerima maklumat berkenaan kegiatan itu dari orang ramai.

"Inspektor berkenaan didakwa meminta suapan RM20,000 bertujuan mempengaruhi mahkamah untuk melepaskan anak seorang awam bersabit kes berkenaan beberapa bulan lalu dan siasatan awal kita mendapati suspek sudah pun menerima sebahagian daripada jumlah itu menerusi transaksi yang dilakukan di bank pada baru-baru ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Suspek kini direman sehingga 29 Julai untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Koreksional Perlis, Penolong Komisioner Penjara Shahhimin Husain mengesahkan penahanan itu serta pihaknya sedia bekerjasama dengan SPRM untuk siasatan berkenaan.

"Kita tiada kompromi kerana ia membabitkan integriti pasukan dan kita sedia bekerjasama dengan SPRM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 2:16 PM