PENYOKONG Duterte berarak menuju ke bangunan Dewan Perwakilan di bandar Quezon, Manila, sebelum dia menyampaikan ucapannya.

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berjanji untuk membuat beberapa perubahan besar untuk mengatasi masalah ekonomi dan sekali lagi mempertahankan dasar menembak mati pengedar dadah di negara itu.

Dalam ucapan sulungnya di Dewan Kongres, Duterte memberi amaran kepada rakyat supaya menjauhkan diri dari dadah dan memberitahu dadah akan ‘melemaskan’ negara itu.

“Kempen ini tidak akan terhenti. Gandakan usaha anda, tingkatkan lagi jika perlu.

“Kami tidak akan berhenti sehingga ketua pengedar dadah terakhir, pembiaya terakhir dan pengedar terakhir menyerah diri atau dipenjarakan. Atau dihantar ke bawah tanah jika mereka mahu,” katanya.

Ucapan sulung berkenaan sangat ditunggu dengan penuh minat di seluruh negara kerana biasanya presiden menyatakan hala tuju pemerintahannya.

Ribuan penyokongnya juga berarak ke bangunan Kongres untuk mendengar ucapan pemimpin itu.

Dalam ucapan selama satu jam tiga puluh minit itu, Duterte berjanji melakukan baik pulih besar-besaran infrastruktur negara itu yang usang dengan pembinaan jalan raya baru, jambatan, kereta api dan mempercepatkan kelulusan permohonan perniagaan.

Dia juga berjanji memperkenalkan teknologi baru bagi meningkatkan kelajuan Internet dan sistem tanpa wayar atau wi-fi awam secara percuma serta kesihatan awam yang menyeluruh.

Duterte turut mengumumkan gencatan senjata sebelah pihak dengan pemberontak komunis dan menyeru kumpulan berkenaan turut berbuat demikian.

Tambahnya, dasar yang menjadikan Filipina antara ekonomi paling pantas berkembang di Asia akan diteruskan dan diperkukuhkan, serta dia juga mengarahkan tentera membantu membasmi aktiviti pembalakan dan perlombongan haram. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 7:33 AM