D’SILVA (tiga dari kiri) bersama lima calon Program Pembangunan Usahawan OLDTOWN White Coffee (EDP), Nor Aisamuddin Bakar, Mohd Shahrul Fahmi Adnan, Shanthi Subramaniam, Jim Rhyzal dan Azman Abd Majid.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : OldTown Bhd (OldTown), pengendali rangkaian kafe OldTown White Coffee menjalin kerjasama dengan Pusat Pembangunan Korporat (CDC) bagi melahirkan lebih ramai usahawan berpotensi dalam segmen makanan dan minuman (F&B).

Ketua Pegawai Operasinya, Clarence Leon D’Silva berkata, pihaknya membangunkan Program Pembangunan Usahawan (EDP) khas untuk tujuan itu dan menyediakan ilmu, latihan komprehensif serta kemahiran keusahawanan.

Katanya, menerusi EDP, peserta bukan saja dapat menimba ilmu dan selok-belok perniagaan dalam F&B, tetapi juga berpeluang menjadi francaisi rangkaian OldTown White Coffee.

“Kami yakin kerjasama dengan CDC ini juga dapat membantu bekas kakitangan Penerbangan Malaysia (MAS) yang mempunyai minat menjadi usahawan dalam sektor F&B untuk menyertai EDP yang membabitkan latihan intensif selama 18 bulan.

“Melalui EDP ini, peserta berkelayakan akan diberi latihan mengenai bagaimana menjalankan operasi restoran, pengurusan stok, pengurusan kewangan dan pekerja serta latihan perkhidmatan membabitkan pelanggan dan peraturan dalam sektor F&B,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, peserta yang menyertai EDP juga akan diberi elaun sebanyak RM2,500 serta bonus (RM500) setiap bulan dan tiada sebarang yuran dikenakan.

D’Silva berkata, buat masa ini terdapat kira-kira sembilan bekas kakitangan MAS yang menyertai EDP dan pihaknya menyasarkan penggal pertama lebih kurang 20 peserta akan diserap setiap tahun.

Beliau berkata, selepas tamat latihan intensif 18 bulan, peserta EDP diberi pilihan sama ada mahu terus bekerja dengan OldTown White Coffee, menjalin usahasama (JV) membuka rangkaian baharu atau menjadi francaisi.

“Peserta EDP bebas untuk menentukan kerjaya apa yang mereka akan ceburi selepas tamat program dan kami sentiasa menyokong mereka sama ada daripada segi khidmat rundingan atau penyediaan kertas kerja. Namun, bagi peserta kebanyakannya mereka seperti berminat untuk JV dengan OldTown White Coffee dan ada yang mahu menjadi fraincaisi.

“Bagaimanapun, jika mereka mahu membuka perniagaan restoran sendiri juga kami benarkan kerana program ini sangat fleksibel dan peserta tidak terikat dengan syarikat, malah kami komited memberi peluang kedua kepada peserta yang sebelum ini menceburi bidang penerbangan untuk mereka pelajari sektor baharu seperti F&B,” katanya.

The Old Town White Coffee adalah restoran kopitiam rantaian terbesar di Malaysia dan beribu pejabat pejabat di Ipoh, Perak.

Ditubuhkan pada 1999, Oldtown Berhad (Oldtown) mengeluarkan campuran minuman segera dan produk di samping beroperasi lebih 180 cawangan kafe di seluruh Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 7:13 AM