Anggota Unit Forensik polis memeriksa kereta mangsa ketika kejadian 6 Julai lalu. - Foto Fail
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Suspek lelaki berusia 29 tahun yang ditahan berkaitan kes tembak wanita ejen hartanah wanita dan anak perempuannya di Taman OUG, Jalan Klang Lama, di sini, 6 Julai lalu, disahkan sebagai orang yang bertanggungjawab melepaskan tembakan yang membunuh mangsa.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek yang ditahan kelmarin, kini direman bagi membantu siasatan.

"Beberapa suspek yang terbabit dengan kejadian itu dipercayai sudah meninggalkan negara ini.

"Bagaimanapun saya yakin polis akan dapat menahan mereka," katanya pada sidang media selepas menyaksikan serah terima tugas Pengarah Komersial Bukit Aman di Pulapol, di sini, hari ini.

Dalam kejadian berkenaan, wanita berusia 32 tahun berstatus Datin itu, maut manakala anak perempuannya berusia lapan tahun, cedera selepas mereka ditembak ketika berada dalam kereta Toyota Vellfire untuk memulakan perjalanan ke Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 5:48 PM