LOKASI mangsa ditemui di Sungai Tenegang, Kinabatangan.
Junaidi Ladjana
am@hmetro.com.my


Kinabatangan: Pekerja buruh ladang yang dilaporkan hilang di Sungai Tenegang, Kinabatangan, sejak petang kelmarin, ditemui pagi tadi, tanpa tangan dan kaki dipercayai dibaham buaya.

Mayat Mohd Asis Tahir, 34, ditemui pasukan penyelamat di sekitar lokasi kejadian jam 11.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat berkata, sebaik operasi disambung jam 10 pagi tadi, pasukan menyelamat yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemui mangsa berkenaan.

"Mayat ditemui tanpa tangan dan kaki di Sungai Tenegang.

"Mayat Kemudian dibawa naik untuk pengecaman dan keluarga mangsa mengesahkan mayat itu adalah mangsa yang hilang," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, operasi kemudian dihentikan jam 11.45 pagi dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kinabatangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 4:28 PM