MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. FOTO Owee Ah Chun
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 (Akta 1511) sudah diwartakan hari ini dan akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat bagi menjaga dan melindungi kanak-kanak di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, akta ini akan digunapakai kepada semua perkara atau pihak yang berkaitan kanak-kanak termasuk sektor pekerjaan seperti pemandu bas sekolah; pengawal sekolah dan pengusaha taska.

"Akta ini lebih menyeluruh dengan merangkumi pelbagai aspek seperti perlindungan, pemeliharaan, pemulihan, perkembangan dan penyertaan.

"Antara perkara utama yang terdapat dalam akta yang akan dikuatkuasakan tidak lama lagi ini ialah Daftar Kanak-kanak; Perintah Khidmat Masyarakat (CSO) Penjagaan Berasaskan Keluarga dan Kenaikan Penalti.

"Selepas 13 tahun Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dilaksanakan, kementerian membuat penambahbaikan terhadap akta terbabit dengan memperkenalkan peruntukan baharu selain mengambil kira isu semasa yang berkaitan kanak-kanak seperti peningkatan kes kecuaian ibubapa dalam penjagaan kanak-kanak," katanya pada sidang media Majlis Riang Ria Aidilfitri Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini, hari ini.

Rohani berkata, kementerian akan mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat berkenaan undang-undang ini, dan memastikan semua agensi bersiap sedia sebelum akta ini dikuatkuasakan sepenuhnya.

Rang undang-undang Kanak-kanak (Pindaan) 2015 diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 April dan 4 Mei oleh Dewan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 3:30 PM