NYAMUK Anopheles betina.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Malaria mungkin semakin pudar daripada ingatan kebanyakan penduduk negara ini berbanding denggi, chikungunya mahupun Zika. Namun, jangan pandang remeh kerana seperti mana-mana penyakit berjangkit, malaria cuma memerlukan satu sumber, satu pesakit (patient zero) untuk menjadi wabak besar.

Malaria boleh dikatakan penyakit yang seangkatan dengan denggi, chikugunya, untut dan Zika dari segi penyebarannya kerana semua penyakit itu boleh disebarkan melalui vektor tertentu terutama nyamuk.

Vektor penyebab bagi penyakit malaria ialah nyamuk betina spesies Anopheles (tiruk). Perkataan malaria sendiri berasal daripada bahasa Itali kuno yang bermaksud udara buruk kerana penyakit ini dikaitkan dengan kawasan paya dan berair (tempat pembiakan nyamuk).

Malaria bukan penyakit baru dan dipercayai mula menjangkiti manusia sejak lebih 50,000 tahun dengan beberapa spesies parasit yang masih boleh ditemui dalam chimpanzi.

Setiap tahun malaria menyerang lebih 500 juta dan membunuh sehingga tiga juta penduduk dunia di 109 negara benua Afrika, Asia dan Amerika Latin. Eropah dan Amerika Syarikat juga tidak terkecuali dengan kes itu dan mula muncul sejak 60 tahun lalu dan dijangka boleh meningkat jika pemanasan global yang menambah sebaran habitat nyamuk tiruk.

Kaitan dengan kebanjiran warga asing

Di Malaysia, malaria yang secara umumnya sudah terkawal dan hampir berjaya dihapuskan, dilihat kembali meningkat dalam tempoh dan di kawasan tertentu.

Menurut Ahli Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia Dr Tunku Shahrul Anuar Tunku Ahmad Basri, ia dikaitkan dengan kebanjiran warga asing terutama pendatang tanpa izin yang masuk tanpa melalui pemeriksaan kesihatan dan kuarantin jika mereka membawa penyakit berjangkit.

“Di samping itu, sebanyak 2,584 daripada 3,923 kes atau 66 peratus penyakit malaria di negara ini pada 2014 dikesan berpunca daripada monyet (zoonotik) dengan membabitkan paling banyak pesakit di Sabah, Sarawak dan Kelantan.

“Keadaan ini berlaku apabila nyamuk tiruk yang menggigit monyet mempunyai malaria dan nyamuk yang sama kemudian menggigit manusia,” katanya.

Jenis parasit Plasmodium

• Plasmodium falciparum (jangkitan selama 36-48 jam)

• Plasmodium vivax (jangkitan selama 48 jam)

• Plasmodium malariae (jangkitan selama 78 jam)

• Plasmodium ovale (jangkitan selama 48 jam)

Jenis perumah

• Perumah definitif - nyamuk tiruk betina (menyokong peringkat dewasa serta kitar seksual parasit)

• Perumah perantara - manusia atau haiwan vertebrata (menyokong peringkat larva serta kitar seksual parasit)

Taburan

Terdapat di merata dunia terutama pada kawasan tropika, subtropika dan khatulistiwa.

Peringkat malaria

• Sporozoit

• Gametosit

• Skizon

• Merozoit

• Trofozoit muda

• Trofozoit matang

Proses penularan parasit Plasmodium

• Parasit Plasmodium boleh masuk dalam aliran darah melalui gigitan nyamuk tiruk betina.

• Parasit kemudian masuk ke sel hati lalu berkembang biak.

• Ketika sel hati pecah, parasit Plasmodium keluar lalu menyerang sel darah merah. Di situ, parasit terus berlipat ganda.

• Ketika sel darah merah pecah, parasit keluar dan menyerang lebih banyak sel darah merah.

• Kitaran itu terus berulang dan orang yang terjangkit biasanya mengalami tanda demam malaria setiap kali sel darah merah pecah.

Tanda gejala demam malaria

• Demam berpanjangan

• Berpeluh

• Menggigil

• Sakit kepala

• Sakit otot

• Loya dan muntah

• Anemia

• Jaundis (kekuningan)

• Pembesaran hati dan limpa

• Cirit-birit

Komplikasi

• Kegagalan fungsi hati dan buah pinggang

• Kemusnahan sel darah merah

• Jangkitan kuman di lapisan otak

• Limpa pecah yang mengakibatkan pendarahan yang teruk

Cara mengenal pasti parasit Setitik darah dari jari akan diambil dan diletakkan di atas slaid kaca untuk diuji parasit malaria. Slaid itu kemudian diwarnakan dengan pewarna Giemsa. Sekiranya parasit ini terdapat dalam darah, kita akan dapat lihat peringkat seperti trofozoit muda, matang, skizon atau gametosit.

Rawatan demam Malaria

• Chloroquine

• Quinine

• Pyrimethamine

• Sulfodaxine

Pencegahan demam malaria

Tiada vaksin khas mencegah malaria, tetapi ia boleh dicegah melalui:

• Tidur menggunakan kelambu.

• Menggunakan ubat nyamuk atau menyembur racun serangga pembunuh nyamuk.

• Memasang jaring nyamuk di jendela rumah.

• Dapatkan perkhidmatan semburan DDT.

Menurut Dr Tunku Shahrul Anuar yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, walaupun spesies nyamuk dan cara pembiakan parasit Plasmodium berbeza dengan virus denggi, akibatnya tetap sama iaitu demam dan simptom jangkitan lain yang boleh membawa maut kepada pesakit.

Mengambil kira situasi semasa, perkara utama untuk dikongsi bersama orang ramai bukan lagi kaedah rawatan ataupun parasit Plasmodium yang menjadi punca malaria.

“Apa yang penting, kerjasama dalam mengesan patient zero secepat mungkin serta mencegah penyebaran parasit itu dengan menyekat aktiviti vektornya daripada menggigit dan menyebarkan malaria kepada manusia.

“Segera bertemu pegawai perubatan berhampiran sekiranya mula mengalami tanda dijangkiti demam malaria secepat mungkin. Ia bukan saja bagi mengesan sama ada anda dijangkiti virus itu atau tidak, malah apa yang lebih utama adalah menyelamatkan nyawa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 12:04 PM