PEMINAT BIGBANG luar biasa di seluruh dunia.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Sejarah yang dicipta kumpulan BigBang dari Korea Selatan tidak mungkin mampu ditandingi mana-mana artis lain di sana. Kumpulan yang bernaung di bawah YG Entertainment itu bukan saja gah dalam kalangan peminat K-Pop bahkan berjaya menakluk seluruh dunia.

Paling utama, BigBang yang dianggotai G-Dragon, Taeyang, T.O.P, Daesung, dan Seungri itu mencipta evolusi tersendiri daripada kewujudan mereka. Hal itu terbukti apabila hampir semua di dunia kenal mereka termasuk yang tidak mengikuti industri hiburan Korea.

Ditubuhkan sejak 2006, tahun ini genap 10 tahun mereka berada dalam industri. Dalam tempoh itu, jumlah pengikut mereka mendadak luar biasa. Belum lagi kejayaan album terbaru MADE yang benar-benar menjadi bukti BigBang layak dipanggil legenda.

Empayar yang dicipta itu bukan mudah dan kerana peminat semata-mata. Tolak ke tepi hakikat mereka dinaungi YG yang sememangnya gah dengan pengurusan hebat, kumpulan itu sendiri berusaha keras mendaki ke tahap sekarang.

Semua itu dipaparkan menerusi filem mereka BigBang MADE The Movie yang akan masuk panggung pada 28 Julai ini. Bukan cerita biografi tipikal, tetapi filem berdurasi dua jam itu bakal meninggalkan penonton dengan emosi bercampur-baur.

Memfokuskan kepada perjalanan siri jelajah promosi album MADE mereka itu, ternyata ia bukan sekadar mahu mengelilingi dunia dan buat konsert BigBang. Tidak hairan, konsert MADE yang berlangsung sejak tahun lalu sehingga kini menjadi bualan gara-gara kehebatannya.

Rupanya, di sebalik keseluruhan konsep, perincian setiap aspek, persembahan bertenaga dan aturan setiap konsert itu, BigBang tidak pernah terlepas pandang walau elemen sekecil mana pun.

Tahap profesionalisme yang ditunjukkan setiap mereka sangat membuka mata kerana masing-masing tahu batas antara peribadi dan kerja. Apabila bekerja, mereka lakukan dengan serius dan profesional dan jika berada di belakang pentas, mereka umpama adik-beradik biasa yang saling mengusik sesama sendiri.

Kesungguhan dan fokus yang mereka curahkan pada setiap konsert sememangnya sangat mengagumkan. Setiap anggota itu pasti akan menegur dan mengambil berat mana-mana aspek yang mereka sendiri tidak puas hati.

Terdapat sedutan yang akan membuatkan penonton jadi lebih hormat kepada setiap anggotanya secara tidak langsung. Maklumlah, selama ini kita cuma disajikan dengan aspek daripada permukaan saja mengenai mereka tanpa mengenali perwatakan sebenarnya.

Contohnya, sedutan ketika ketua kumpulan, G-Dragon mengamuk terhadap persiapan dari segi teknikal oleh produksi gara-gara tidak diperbaiki. Padahal, isunya cuma mengenai pencahayaan, tetapi daripada nadanya menegur, jelas G-Dragon mengharapkan kesempurnaan.

Demikian juga T.O.P yang sememangnya terkenal lantang bersuara. Dia sendiri mengakui menyerahkan sepenuh jiwa raganya untuk siri jelajah itu sehingga terlalu menitikberatkan semua segi termasuk raptai penuh.

“Saya rasa setakat ini belum pernah ada raptai kami yang sempurna dan memuaskan. Untuk MADE, saya mengharapkan yang luar biasa kerana konsert itu bukan sekadar konsert biasa, tetapi kami mahukan kesempurnaan,” katanya.

Seperti keluarga

Paling menyentuh, BigBang masih seperti dulu apabila mereka tidak pernah melupakan jasa setiap individu yang menaikkan mereka. Bahkan, sepanjang siri jelajah itu, mereka mengelilingi dunia bersama orang-orang yang sememangnya bersama mereka sejak penubuhan kumpulan itu. Begitu kuatnya ikatan sesama mereka menjadikan hubungan begitu indah seperti satu keluarga.

Aspek itu mungkin remeh buat sesetengah artis namun ia tidak kepada anggotanya yang beranggapan orang itu sebenarnya tonggak kejayaan mereka. Tidak hairanlah masing-masing mengakui lebih rapat sesama sendiri berbanding ahli keluarga sendiri.

“Masa saya banyak dihabiskan dengan mereka berbanding keluarga sendiri. Saya rasa seperti mahu ‘memadam kewujudan ibu bapa’ saya kerana tidak mahu mereka risaukan anak mereka ini,” begitu perumpamaan yang Taeyang nyatakan sambil berseloroh.

Baik koreografer, jurumekap, pendandan rambut, penata rias pakaian, hingga kru kecil lain, ternyata mereka sangat dihargai. Daesung sendiri berasakan dia bukan sesiapa jika tanpa pertolongan mereka terutama orang yang menjaga penampilannya.

“Awal dulu, saya adalah seorang yang sangat gagal apabila apabila nak berfesyen. Tanpa dia, saya tidak mungkin berada di sini sekarang menjadi sebahagian daripada kenangan ini,” katanya.

Filem itu bukan saja menjadi lambang kepada perjuangan BigBang menuju kemashyuran sebaliknya penanda aras kepada setiap artis lain. Sepuluh tahun mungkin tempoh singkat namun tiada siapa tahu takdir yang menanti pada masa depan.

Bigbang sendiri mungkin tidak lama dalam industri lantaran banyak perubahan akan berlaku. Terbaru tidak lain kemasukan T.O.P ke kem tentera bagi menjalani latihan khidmat negara selepas lama tertangguh.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya dalam tempoh itu dia dan anggota lain sudah berbakti kepada industri sendiri. Bigbang jelas tidak mensia-siakan setiap inci ruang yang diberikan dan hasilnya, mereka layak digelar legenda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 5:01 AM
Skip this ad x