BAS yang terlanggar jejambat dan tersangkut ketika memasuki terowong.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Rapid Bus Sdn Bhd sahkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden bas dua tingkat Rapid KL yang terlanggar jejambat jalan raya di Pudu, 7.15pagi tadi.

Ketua Pegawai Operasi Bus Rapid KL, Mohd Azam Omar berkata, ketika kejadian bas yang dalam perjalanan pulang ke depoh Maluri dari pusat bandar itu tidak membawa penumpang dan hanya pemandu sahaja yang berada dalam kenderaan berkenaan.

"Bas terbabit sudah dibawa ke depoh bas untuk membolehkan pihak pengurusan menjalankan siasatan dalaman dan seterusnya kerja-kerja membaik pulih.

"Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.

"Rapid Bus memohon maaf di atas kesulitan yang dialami oleh pengguna jalan raya," katanya menerusi satu kenyataan, sebentar tadi.

Dalam kejadian pagi tadi, bas dua tingkat itu rosak di bumbung selepas tersangkut ketika cuba memasuki terowong berdekatan Bulatan Jalan Pudu, di sini.

Ia akhirnya ditarik keluar dengan bantuan jengkaut, pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 1:46 PM