ESTHER Yong (kiri) dan Yee Ting ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Memanah UNIMAS.
Saiful Affendy Sapran dan Ferzalfie Fauzi
sukan@hmetro.com.my


Kuching: “Ini aksi saya yang terakhir.”

Itu kata atlet memanah tuan rumah, Koh Yee Ting yang sedar dia tidak mempunyai pilihan lain kecuali memberikan aksi terbaik sebelum bersara.

SUKMA yang berlangsung di negeri kelahirannya itu adalah penyertaan kedua kariernya dan dianggap sebagai sesuatu yang sangat istimewa.

Apakan tidak, temasya dwitahunan itu turut menjadi medan terakhir untuknya berbakti sebelum menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi.

“Selepas SUKMA ini berakhir saya akan menyambung pengajian di salah sebuah kolej di Sibu, memang kalau ikut perancangan asal saya mahu bersara sebagai atlet,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.

Yee Ting yang berusia 18 tahun, berazam untuk beraksi sebaik mungkin di tempat sendiri, setidak-tidaknya mencatat pencapaian lebih cemerlang berbanding Perlis 2014, di mana ketika itu dia meraih satu emas dan satu perak.

“Kalau hendak diikutkan saya mahu meneruskan karier sebagai atlet memanah tetapi sekarang ibu saya mengharapkan saya menyambung pelajaran di kolej dalam jurusan perakaunan.

“Sekarang saya akan cuba buat yang terbaik di SUKMA Sarawak dan sasaran peribadi saya memang mahu meraih emas dan berharap lebih baik dari aksi di Perlis, ketika itu saya meraih emas acara recurve berpasukan,” katanya.

Dua tahun lalu, Yee Ting meraih perak dalam acara recurve individu dan sekarang dia sudah menukar disiplin apabila mengambil bahagian dalam acara compound.

Acara memanah yang berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan bermula 24 hingga 29 Julai, membabitkan acara recurve dan compound perseorangan serta berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 9:11 AM