AFP

London: Manchester United berusaha gigih memburu Paul Pogba (gambar) dengan tawaran rekod dunia selepas dilaporkan menawarkan pakej kewangan mewah kepada ejennya ketika pemain tengah Juventus itu teruja menanti perkembangan di Miami.

Pengurus United Jose Mourinho menjadikan Pogba sasaran pembelian utamanya ketika beliau mahu mencetus impak besar dalam musim sulungnya di Old Trafford dan perjanjian dengan rekod dunia £100 juta (RM535 juta) semakin hampir dimuktamadkan kelmarin.

Media Britain melaporkan naib pengerusi eksekutif United Ed Woodward menarik diri daripada jelajah pramusim kelab itu ke China untuk bertemu ejen Pogba, Mino Raiola kelmarin, apabila kedua-duanya berunding mengenai kontrak lima tahun dengan gaji £220,000 (RM1.2 juta) seminggu selepas cukai.

Sekalipun United dipercayai gagal dalam bidaan awal £86 juta (RM460 juta) yang ditolak Juventus, mereka pasti menguji ketabahan juara Itali itu dengan tawaran lebih lumayan yang pasti memecah rekod terdahulu £85 juta (RM455 juta) dibayar Real Madrid untuk membeli Gareth Bale pada 2013.

Pogba sendiri jelas tidak kisah dengan persoalan mengenai masa depannya ketika dia bercuti dengan penyerang Everton Romelu Lukaku, seorang lagi klien Raiola.

Beberapa siri pos dalam media sosial menyaksikan Pogba berehat di pantai dan beriadah di Miami, yang mana dia turut dilihat bermain bola keranjang menyarung jersi juara baru NBA Cleveland Cavaliers. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 8:08 AM