CRUZ berucap di konvenysen Parti Republikan di Cleveland, Ohio, semalam.
Agensi

Ohio (Amerika Syarikat): Bekas pencabar calon presiden, Ted Cruz mengejutkan Konvensyen Kebangsaan Republikan kelmarin apabila enggan menyokong calon parti itu, Donald Trump dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat November depan.

Cruz yang tewas dalam persaingan untuk menjadi calon Republikan sebaliknya menggesa rakyat Amerika ‘mengundi mengikut kata hati’ mereka ketika berucap di konvensyen berkenaan.

Cruz mulanya disambut tepukan gemuruh ketika naik ke pentas, tetapi sorakan bertukar menjadi ejekan apabila senator dari Texas itu nyata tidak datang ke Cleveland untuk menyokong bekas lawannya.

“Kita layak mendapat pemimpin yang berpegang pada prinsip, yang menyatukan kita semua melalui nilai murni yang dikongsi bersama, yang mengetepikan rasa marah dengan kasih sayang.

“Jika kamu sayangkan negara kita dan anak-anak seperti yang saya rasakan, bertegaslah bersuara dan undi mengikut kata hati anda,” katanya, secara tidak langsung mengkritik Trump.

Dua calon itu kerap bersengketa sepanjang kempen mereka sebelum ini, termasuk isu peribadi dengan Trump mengejek isteri Cruz selain menggelarnya penipu.

Cruz dijangka bertanding pada kempen pilihan raya 2020 sekiranya Trump kalah kepada Hillary Clinton November ini.

Sementara itu, kata-kata Cruz menambah kepada ketegangan dirasai dalam konvensyen yang melihat pertelingkahan antara kumpulan anti-Trump dan penyokongnya, selain pelbagai masalah kecil lain. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 7:25 AM