Bot tunda yang ditemui tanpa kru dan dipercayai mereka diculik perairan Dent Heaven, Lahad Datu, Isnin lalu.
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Semua pemilik bot diminta menyediakan maklumat pergerakan mereka kepada Pusat Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi memastikan aspek keselamatan dapat disediakan sewajarnya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, maklumat ini penting bagi memudahkan ESSCOM memantau pergerakan bot dan memastikan keselamatan daripada penjenayah rentas sempadan termasuk kumpulan penculik.

"Pemerhatian oleh ESSCOM mendapati maklum balas yang diterima daripada pemilik bot kurang memuaskan.

"Jadi, kami menggesa mereka memberikan maklumat pergerakan keapda ESSCOM. Kerajaan turut melihat keperluan untuk pemilik bot komersil melengkapkan anak kapal mereka dengan kaedah komunikasi

alternatif selain telefon bimbit,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selasa lalu, polis Sabah tidak menolak kemungkinan lima kru bot tunda rakyat Malaysia yang hilang Isnin lalu dipercayai diculik kumpulan pengganas di perairan Dent Heaven, Lahad Datu.

Dalam kejadian itu, Abd Rahim Summas, 62 bersama empat rakannya, Tayudin Anjut, 45, Mohd Ridzuan Ismail, 32, Fandy Bakran, 26, dan Mohd Jumadil Rahim, 23, hilang sebelum bot tunda dinaiki mereka bersama tongkang ditemui nelayan dalam keadaan bergerak tanpa haluan.

Pada 1 April lalu, empat warga Malaysia yang juga kru sebuah kapal tunda diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Pulau Ligitan berhampiran Semporna.

Pada 9 Julai lalu, tiga lelaki pekerja bot ikan diculik lima lelaki bersenjata di perairan Sahabat 16, di Lahad Datu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 9:48 PM