BERAS diseludup dari Thailand yang dirampas. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor merampas 280 kampit beras yang diseludup dari Thailand di gudang di Kampung Gelang Gasi, Chabang Empat, di sini, 3 pagi tadi.

Dalam operasi diketuai Pegawai Operasi PPM Pengkalan Kubor, Inspektor Mohd Hamdan Mustapa, dua lelaki warga tempatan yang bertugas sebagai penjaga gudang turut ditahan.

Komander Markas Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, anggotanya sebelum itu mengekori dua van dan sebuah kereta disyaki penyeludup beras dari Pangkalan Haram Dedap Nibong, di sini.

"Mereka mengekori sehingga ke gudang berkenaan, namun van dan kereta melarikan diri selepas didekati anggota.

"Anggota juga nyaris dilanggar dalam usaha mereka melarikan diri. Hanya van dapat ditahan berikutan sudah memasuki gudang.

"Kita juga menemui lori di situ dan beras seludup dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM200,000," katanya di sini, hari ini.

Zulkafli berkata, barang rampasan diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Kelantan untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 1:15 PM