PELUANG mengundi buat pertama kali untuk wanita di Arab Saudi diraikan penuh bermakna walaupun sekadar pilihan raya majlis perbandaran di Riyadh.
SEORANG wanita Saudi menunggu di luar pusat mengundi ketika pilihan raya majlis perbandaran di Riyadh baru-baru ini.
Susunan Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my

Sistem kawalan Arab Saudi yang melarang wanita melancong ke luar negara, memiliki pasport, berkahwin atau keluar penjara tanpa persetujuan ahli keluarga lelaki masih menjadi halangan dan cabaran utama untuk merealisasikan hak wanita dalam pentadbiran kerajaan negara itu.

Kajian yang dilakukan organisasi hak asasi manusia, The Human Rights Watch (HRW) ketika ini ialah cuba mengenal pasti peranan kerajaan itu dalam melaksanakan ‘Wawasan 2030’ dan ‘Pelan Transformasi Negara’ bagi mengurangkan kebergantungan Arab Saudi terhadap industri minyak termasuk sasaran kerajaan untuk meningkatkan penyertaan wanita sebagai tenaga kerja di hampir setiap sektor.

Laporan awal daripada kajian itu dikemukakan tujuh bulan selepas wanita Saudi diberi hak menjalankan proses pilihan raya dan mengundi buat pertama kalinya untuk kerusi majlis perbandaran, baru-baru ini.

Laporan itu juga mendapati kehidupan wanita di Arab Saudi terlalu bergantung kepada belas ihsan ahli keluarga lelaki seperti bapa, suami, adik-beradik dan anak meskipun makin banyak peluang dibuka untuk mereka.

Seorang wanita berusia 25 tahun dikenali Zahra mengatakan dia kerap dipukul teruk oleh bapanya sehingga satu tahap wanita itu hilang penglihatan buat sementara dan terpaksa dibawa ke hospital.

Walaupun ibu bapanya bercerai dan dia tinggal bersama ibunya, bapanya masih penjaga yang sah.

Bapanya enggan membenarkan Zahra melanjutkan pelajaran di luar negara walaupun menerima biasiswa dan dia tidak dibenarkan ke luar negara untuk bekerja tanpa izin lelaki itu.

HRW yang menemu bual 61 wanita Saudi di dalam dan luar negara itu sejak sembilan bulan lalu terpaksa menggunakan nama samaran ke atas subjeknya atas faktor keselamatan.

“Kawalan dan penjagaan seperti ini mencetuskan sistem buruk yang menjurus kepada penderaan domestik,” kata seorang penulis laporan itu, Kristine Beckerle.

Sistem perundangan Arab Saudi dan amalan sosial dalam kalangan masyarakatnya ini turut disokong penuh idealogi ultra-konservatif Islam yang dikenali sebagai fahaman Wahabi.

Ulama Wahabi berkuasa dalam kerajaan dan menyokong 100 peratus peranan lelaki sebagai penjaga wanita berdasarkan ayat dalam al-Quran yang menyatakan seseorang lelaki itu adalah pemimpin bagi wanita.

Ada sesetengah ulama pula berpendapat konsep dalam al-Quran itu disalah tafsir kerana adanya gesaan kepada aspek saling menghormati antara lelaki dan wanita.

Beberapa negara Islam lain yang turut mempunyai mahkamah syariah bagaimanapun tidak mempunyai undang-undang kawalan dan penjagaan oleh lelaki seperti di negara Arab.

HRW menjelaskan sistem Saudi itu berkesan meletakkan wanita dewasa dalam kategori kanak-kanak di bawah umur, yang mana ia tidak sepatutnya berlaku.

Wanita hilang hak

Laporan itu tidak ketinggalan menyebut mengenai larangan memandu ke atas wanita dan pengasingan hak serta peluang antara jantina ini makin luas jurangnya.

Ditambah pula dengan pelbagai peraturan dan sekatan tidak rasmi, wanita di Arab Saudi tidak boleh membuat keputusan untuk diri mereka sendiri.

Ia termasuk menandatangani perjanjian jual beli hartanah, mencari kerja, melancong, belajar dan berkahwin.

“Ia disebabkan wanita terlalu bimbang dan takut jika bapa atau suami masing-masing tidak bersetuju hingga memberi peluang kepada lelaki mendera mereka,” tambah Kristine.

Bagaimanapun, ada beberapa sekatan kawalan dan penjagaan lelaki ini mulai longgar sejak sedekad lalu terutama yang membabitkan hak wanita untuk bekerja tanpa memerlukan kebenaran lelaki.

Di bawah rancangan pembaharuan ekonomi kerajaan itu, wanita digalakkan menjadi sebahagian tenaga kerja dan syarikat diberikan insentif jika menerima pekerja wanita.

Namun, penalti tidak dikenakan ke atas majikan yang enggan mengambil wanita bekerja tanpa mendapatkan izin daripada saudara lelakinya.

Kebanyakan universiti juga masih memerlukan kebenaran lelaki untuk membolehkan wanita mendaftar sebagai pelajar.

Antara perubahan lain yang dilakukan ialah wanita Saudi mula diberi hak mempunyai kad pengenalan sendiri tanpa memerlukan kebenaran lelaki.

Bagaimanapun, untuk mendapatkan kad itu, wanita terbabit perlu menunjukkan kad keluarganya yang dipegang lelaki.

Perkara sama berlaku di hospital kerajaan dan swastanya. Kebenaran lelaki diperlukan sebelum memberi rawatan kepada pesakit wanita dan permintaan wanita yang tiada pengakuan lelaki tidak dilayan meskipun bergelut dengan kesakitan.

Banduan wanita yang akan dibebaskan pula perlu diserahkan terus kepada penjaga lelaki hingga membuatkan ramai wanita lebih rela kembali ke penjara atau dihantar ke pusat tahanan.

Tambah Kristine, perubahan itu ada dan berlaku secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan ia memberi impak pada kehidupan wanita di negara itu.

“Tetapi, apabila diperhatikan semula, mereka selama-lamanya tidak akan bebas ke mana-mana tanpa ada kebenaran atau bantuan daripada lelaki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 10:54 AM