Palembang: Pengalaman menyertai Kejohanan Dunia 2004 dan 2006 selain emas di Piala Jogjakarta beberapa bulan lalu akan dijadikan pemangkin semangat buat atlet taekwondo negara, Nur Syazwani Abdu Razak (gambar).

Nur Syazwani, 26, ingin memperbaiki catatan gangsa di Sukan Universiti Asean (AUG) di Laos dua tahun lalu dan berharap kali ini warna pingat itu akan berubah.

Penuntut jurusan Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berazam mengenepikan cabaran atlet Thailand dan Vietnam yang disifatkan batu penghalang utamanya di Palembang ini.

“Saingan kali ini memang sengit dan saya mendapat tahu Thailand serta Vietnam menghantar atlet terbaik masing-masing.

“Bagaimanapun, saya cuba memberikan aksi terbaik kerana mahu menutup 2014 dengan catatan emas.

“Selain atlet Thailand dan Vietnam, saya juga perlu berhati-hati dengan atlet negara lain kerana jika silap percaturan saya mungkin berputih mata,” kata penuntut tahun empat UiTM itu.

Nur Syazwani berkata, kejayaan merangkul gangsa di AUG Laos menjadi saat terbaik yang pasti terus dikenang sepanjang kariernya.

Ketika itu, dia mengharungi AUG 2012 dengan penuh azab apabila mengalami kecederaan tulang kering kedua-dua kaki sebelum temasya itu bermula.

“Bayangkan betapa azabnya saya mengharungi aksi di setiap pusingan. Saya gagahkan diri mengenepikan satu demi satu lawan hingga membolehkan saya mendapat gangsa.

“Itulah kejayaan paling manis saya. Walaupun tidak menang emas, saya tetap bangga dengan gangsa kerana bukan mudah untuk memenanginya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 6:58 AM