Operasi JPJ Negeri Sembilan bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain, termasuk polis dan imigresen ketika Aidilfitri lalu. - Foto Dail
BERNAMA

Seremban: Sebanyak 57 pemandu yang menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya di Negeri Sembilan sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri 2016, akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, bulan depan.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Rosilan Md Sari berkata, semua 57 pemandu itu disaman serta-merta di lokasi.

"JPJ juga akan memanggil 47 lagi pemandu yang memandu di lorong kecemasan untuk soal siasat.

"Mereka dikesan melakukan kesalahan itu oleh anggota JPJ yang menyamar dan mengambil gambar ketika kejadian," katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri JPJ Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Rosilan berkata pihaknya juga menerima lebih 60 aduan daripada orang awam mengenai kesalahan memandu di lorong kecemasan.

Beliau berkata hanya aduan yang mempunyai maklumat lengkap iaitu berserta gambar, lokasi kejadian dan masa akan diperiksa manakala yang tidak lengkap, ditolak.

Katanya selain kereta, lori kecil dan bas juga ada dikesan menyalahgunakan lorong kecemasan.

Rosilan berkata, sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri 2016, JPJ negeri mengeluarkan 122 saman bagi pelbagai kesalahan kepada 34 pemandu bas ekspres.

"Antara kesalahan yang dilakukan ialah merokok semasa memandu, menggunakan telefon bimbit, memandu di lorong kanan, menurunkan penumpang di tempat yang tak dibenarkan, tidak selenggara buku log dan tiada pemandu kedua," katanya.

Beliau berkata saman itu dikeluarkan oleh anggota JPJ yang menyamar sebagai penumpang dalam 43 bas ekspres.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 9:57 PM