MANGSA meninggal dunia selepas empat hari menerima rawatan di hospital. FOTO Foto Shahrul Hafiz Zam
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Alor Setar: Wanita warga emas meninggal dunia 4.30 pagi tadi selepas empat hari menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dipercayai akibat dibelasah cucunya di kediaman mereka di Gunung Keriang.

Mangsa, Aton Hamid, 87, meninggal dunia dipercayai akibat mengalami kecederaan dalaman di kepala dan lebam di muka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Rohana Omar berkata, dalam kejadian kira-kira 11 pagi Sabtu lalu, anak lelaki mangsa berusia 54 tahun yang pulang ke rumah mendapati ibunya cedera di hidung dan telinga.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke HSB untuk menerima rawatan sebelum meninggal dunia pagi tadi.

“Sehubungan itu kita menahan suspek berusia 29 tahun di pondok berdekatan Muzium Padi, Gunung Keriang 2.30 petang tadi.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan menunggu hasil bedah siasat untuk mengetahui punca kematian mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 6:26 PM