FOTO ihsan Polis Johor
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Iskandar Puteri: Empat anggota penguat kuasa Kastam Diraja Malaysia (KDRM) cedera ringan selepas kenderaan mereka dirempuh dua kenderaan tonto di KM 19, susur keluar Lebuh raya Link Kedua di Gelang Patah jam 11 pagi, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, kejadian berlaku apabila penguat kuasa yang menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail cuba menahan sebuah van disyaki menyeludup arak.

Beliau berkata, kenderaan penguat kuasa dirempuh dua kereta jenis iaitu trak pikap Ford Ranger dan Honda Accord dinaiki tonto hingga terbabas dan melanggar tembok.

Menurutnya, susulan itu, polis menjalankan Ops Kesan dan menahan dua lelaki berusia 38 dan 61 tahun di sekitar kawasan Iskandar Puteri pada 4 pagi hari ini.

"Polis turut merampas tiga kenderaan termasuk sebuah van, Ford Ranger dan Honda Accord.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 2:53 PM