PEMAIN THT, Firhan Ashaari (kanan) diawasi pemain Maybank, Muhammad Iderus Ali.
Oleh Faizul Azlan Razak
sukan@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Pasukan Maybank mencipta kejutan apabila menundukkan juara liga, Terengganu Hockey Team (THT) 3-2 dalam aksi separuh akhir pertama Piala TNB di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, semalam.

Pada aksi itu, kedua-dua pasukan berbalas serangan mencari jaringan, namun terikat tanpa jaringan hingga babak pertama permainan berakhir.

Bersambung babak kedua, pasukan bimbingan Sarjit Singh memecah kebuntuan menerusi jaringan padang Mohd Fitri Saari pada minit ke-31.

Begitupun, Maybank tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Jivan Mohan minit ke-36.

Pada minit ke-45, tuan rumah dikejutkan jaringan kedua pasukan bimbingan Erling Wallace Tan menerusi Shakeel Abassi berpunca pukulan sudut penalti.

THT yang terkejut dengan jaringan itu, melancarkan serangan dan hasilnya Baljit Singh menjaringkan gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-50.

Gol kemenangan Maybank dihasilkan sekali lagi menerusi Shakeel hasil serangan balas, menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Muhammad Hafizuddin Othman minit ke-58.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 6:42 AM