PENYERANG PDRM Guilherme De Paula (tengah) cuba melepasi kawalan Safiq.
Nazri Abu Bakar
sukan@hmetro.com.my


Melaka: PDRM gagal mengambil kesempatan atas persembahan longgar Johor DT selepas sekadar seri 1-1 pada aksi kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi.

Aksi kurang menyerlah Johor DT pada awal babak digunakan sebaik mungkin barisan PDRM yang mengasak hebat kubu pelawat namun ketumpulan jentera penyudah menyaksikan tuan rumah gagal memecah kebuntuan jaringan.

The Cops berjaya mencipta peluang berbahaya pada minit keempat namun rembatan Safuwan Baharudin diselamatkan penjaga gol Johor DT Mohd Izham Tarmizi yang bijak menutup ruang bagi mengelak gawangnya daripada dibocori.

Kapten dari Singapura itu sekali lagi menguji Izham pada minit ke-12 tetapi kali ini Izham lebih bersedia untuk menangkap kemas cubaan leret buat kali kedua ketika gerakan pasukannya lebih banyak berlegar di tengah padang.

Peluang terbaik menghasilkan gol buat anak buah Mohd Fauzi Pilus hadir pada minit ke-36 namun tolakan Safuwan hanya menggegar palang Johor DT ketika Izham sudah tertewas.

Hanya satu peluang dihasilkan Johor DT pada babak pertama tetapi rembatan Safiq Rahim pada minit ke-40 diselamatkan Haziq Nadzli.

Safuwan sekali lagi gagal memecah kebuntuan selepas rembatannya diselamatkan Izham pada minit ke-47 manakala tolakan yang dilakukannya pada minit ke-58 tersasar.

Johor DT mendahului pada minit ke-71 menerusi jaringan sendiri K Rueben.

Begitupun, tuan rumah menyamakan kedudukan pada masa tambahan menerusi tandukan Safuwan hasil hantaran lintang Andrezinho.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 8:41 AM