AB Rahman Ismail (dua kiri) memeriksa pil kuda pada sidang media rampasan dadah di IPK Kelantan. NSTP/FATHIL ASRI.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Polis Kelantan menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dalam tiga serbuan di Bachok dan Tanah Merah membabitkan dadah bernilai hampir RM200,000, malam dan awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, dalam serbuan itu enam orang berusia antara 20 hingga 63 tahun termasuk wanita ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dalam serbuan pertama membabitkan Sindiket Gunong, kita lakukan terhadap dua lelaki di Bachok dan merampas 20 botol mengandungi heroin seberat 102.8 gram anggarkan nilai RM40,000.

"Susulan daripada itu kita menyerbu rumah di Pachor, di sini sebelum menahan tiga beradik dan merampas 51.4 gram dadah heroin dan 6,000 biji pil kuda bernilai RM140,000," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Menurutnya,pihaknya turut menyerbu rumah di Taman Adabi, Tanah Merah sebelum menahan lelaki berusia 25 tahun, 1 pagi tadi.

"Pemeriksaan di dalam rumah itu menemui 990 biji pil kuda bernilai RM19,800," katanya.

Ab Rahman berkata, semua suspek direman bermula hari ini sehingga 25 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 4:37 PM