FOTO Danial Saad
Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Alor Setar: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah akan meneroka projek terbaharu membabitkan pembinaan kilang pemprosesan arang daripada buluh bagi mempelbagaikan peluang pendapatan kepada petani.

Pengerusinya Abd Lateh Mohd Saman berkata, melalui pembinaan kilang itu nanti petani khususnya dari Sik, Baling dan Padang Terap boleh menjual hasil buluh mereka kepada PPN untuk diproses menjadi arang.

Katanya, idea pembukaan kilang itu timbul apabila melihat kejayaan PPN di Perak yang menggunakan kaedah sama bagi membantu meningkatkan pendapatan petani tempatan.

"Kita tertarik melihat kejayaan PPN Perak yang berupaya menjual arang dari bulung kepada pihak industri dengan permintaannya tinggi sebelum ini.

"Justeru, kita akan mula membuat perjumpaan dengan PPK (Persatuan Peladang Kawasan) bagi mendapatkan maklum balas mereka berhubung hasrat ini sebelum boleh membina kilang berkenaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Silaturahim Aidilfitri 2016 di Kolej Universiti Insaniah, Mergong, di sini, pagi tadi.

Katanya, pihaknya turut menjangkakan sambutan positif selepas pembinaan kilang itu berdasarkan maklumat awal kerana ia boleh mempelbagaikan pendapatan petani melalui kaedah mudah iaitu menjual buluh kepada PPN.

"Kita bercadang akan membina kilang itu di Kawasan Industri Naka dengan peruntukan awal berjumlah RM20,000 dalam masa terdekat," katanya.

Terdahulu Abd Lateh menyampaikan zakat perniagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berjumlah RM630,000 kepada wakil 42 PPK di Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 2:31 PM