KHAIRUL (tengah) bermula di petak ke-20.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tumpuan peminat sukan permotoran negara pasti terarah kepada Khairul Idham Pawi ketika berbaki sembilan perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.

Selepas separuh musim berlangsung, pelumba Moto3 negara yang beraksi untuk Honda Team Asia itu membuktikan kejayaannya muncul juara di Argentina bukanlah nasib semata-mata.

Sejak tampil sepenuh musim pada Mac lalu, dia muncul juara sebanyak dua kali, dua kali di tangga ke-14, masing-masing sekali di kedudukan ke-20 dan 22 selain tiga kali gagal menamatkan perlumbaan.

Hanya Brad Binder dari pasukan Red Bull KTM Ajo memenangi perlumbaan lebih banyak daripadanya, muncul juara dalam tiga perlumbaan.

“Keadaan cuaca (litar basah) di Jerman (kelmarin) membantu saya meraih kemenangan kali kedua musim ini.

“Saya tidak memikirkan podium dengan tumpuan adalah cuba menamatkan perlumbaan kerana tiga perlumbaan sebelumnya saya gagal melakukannya.

“Ia perlumbaan yang sukar kerana saya perlu bermula dari kedudukan belakang,” jelas pelumba berusia 17 tahun itu.

Khairul yang bermula di petak ke-20 tenang mendominasi perlumbaan di Litar Sachsenring apabila jauh meninggalkan pencabarnya untuk melintasi garisan penamat secara solo dengan perbezaan 11 saat.

Pujian diberikan pengurus pasukan Tadayuki Okada apabila Khairul membuktikan kepakarannya berlumba di litar basah.

“Keadaan litar basah sekali lagi membezakan dia dan pelumba lain. Dia secara konsisten mencatat masa yang bagus pada setiap pusingan untuk menguasai perlumbaan.

“Tanpa diragui, dia berhak meraih kemenangan kedua di musim pertamanya. Saya sangat menghargai semua pihak yang menyokong kami,” ujarnya.

Perlumbaan ke-10 MotoGP akan berlangsung di Spielberg, Austria bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 8:34 AM