PENGGUNA dan pengedar dadah mengambil bahagian dalam kempen antidadah kerajaan apabila mereka menyerah diri kepada pegawai tempatan di selatan Manila, semalam.
AFP

Manila: Presiden Rodrigo Duterte semalam berkata, dia tidak takut dengan kumpulan hak manusia dan berikrar tidak berminat untuk memberi perbicaraan yang adil dalam kempennya memerangi dadah.

Dia juga membandingkan dirinya dengan bekas diktator Uganda, Idi Amin.

Duterte membuat acaman itu selepas Suruhanjaya Juri Antarabangsa (ICJ) menyertai kumpulan yang menyelar Duterte kerana tindakannya membunuh suspek penjenayah tanpa perbicaraan secara adil.

Presiden baru Filipina itu sebaliknya berikrar untuk meningkatkan kempen membunuh penjenayah tanpa belas kasihan.

“Saya akan bersara dengan reputsi seperti Idi Amin,” kata Duterte, merujuk kepada bekas pemimpin Uganda yang dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia hingga menyebabkan ratusan ribu penduduk Uganda mati sepanjang pemerintahannya antara 1971 hingga 1979.

“Saya tidak takut kepada hak asasi manusia. Saya tidak akan membiarkan negara saya musnah.

“Mengapa perlu saya beri anda perbicaraan yang adil. Saya presiden,” katanya.

Duterte yang menjadi presiden baru Filipina beberapa minggu lalu juga berikrar untuk memberi pengampunan kepada anggota pasukan keselamatan yang didakwa melakukan salah guna kuasa.

Sementara itu, polis semalam mendedahkan rancangan memasang papan iklan elektronik yang besar di hadapan ibu pejabat mereka di Manila.

Ia akan digunakan untuk mempamerkan jumlah terkini suspek dadah dan penjenayah yang ditangkap atau dibunuh.

Stesen televisyen ABC-CBN melaporkan, 408 orang, disyaki suspek dadah dibunuh antara 10 Mei hingga 15 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2016 @ 7:42 AM